Sidang Dun Perak 6 Ogos, kata Menteri Besar

Sidang Dun Perak 6 Ogos, kata Menteri Besar

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 dijadual berlangsung 6 Ogos depan, kata Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata upacara angkat sumpah semua 59 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun), speaker serta timbalan speaker akan diadakan pada 3 Julai.

“Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan untuk berangkat merasmikan pembukaan sidang Dun pada Ogos,” katanya kepada media selepas menerima sumbangan RM500,000 untuk Tabung Harapan daripada Unisem Group di pejabatnya hari ini.

Mengenai calon speaker Dun, Ahmad Faizal berkata calon daripada Pakatan Harapan (PH) telah dikenal pasti.

“Kami dah kenal pasti calon daripada PH dan saya percaya pihak sebelah sana (Pas dan Barisan Nasional) akan menamakan calon mereka, kita tengok lah, setakat ini daripada tiga pihak,” katanya.

Pada PRU14, PH menang 29 daripada 59 kerusi DUN, BN (27), dan Pas (3).

Bagaimanapun, PH mendapat mandat membentuk kerajaan negeri setelah memperoleh majoriti mudah menerusi sokongan dua Adun BN.

COMMENTS

Wordpress (0)