Malaysia Dateline

Sidang hanya selepas darurat: Parlimen cuba permainkan titah Agong, kata MP

Ahli Parlimen mendakwa pengurusan intitusi Parlimen di negara ini cuba mempermain-mainkan titah Yang Dipertuan Agong apabila merancang untuk mengadakan sidang Parlimen hanya pada Ogos ini iaitu selepas tempoh darurat tamat.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar juga menuduh pengurusannya sangat lemah apabila hanya berfikir dan merancang untuk mengadakan sidang Parlimen selepas dititahkan oleh Yang Dipertuan Agong.

“Saya percaya persidangan hibrid sepatutnya diadakan lebih awal. Kenapa sehingga Ogos nanti baru nak berbincang isu sidang hibrid.

“Ini seolah-olah mahu mempermain-mainkan titah Yang Dipertuan Agong agar Parlimen bersidang dengan segera.

“Langkah ini bagi saya cuba mempermainkan titah baginda agar Parlimen bersidang secepat mungkin itu,” kata Naib Presiden AMANAH itu dalam satu kenyataan menerusi video klip beliau.

Bagi Mahfuz, yang dimaksudkan oleh baginda ‘secepat mungkin’ itu adalah sidang Parlimen ini perlu diadakan di masa darurat masih berjalan ini kerana sebelum ini baginda juga berkata, sidang Parlimen boleh diadakan semasa darurat.

“Ini kerana, kata Tuanku, sidang secepat mungkin ini untuk membolehkan ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan di Parlimen.

“Ini menunjukkan betapa ordinan darurat yang telah dimasyhurkan di istana tuanku ini perlu dibahaskan. Ordinan ini hanya boleh dibahaskan sewaktu darurat masih berjalan.

“Kalau darurat ini telah tamat, ia terbatal dengan sendiri dan tidak boleh dibahaskan secara spesifik.

“Lainlah kalau Speaker tahu PM mahu lanjutkan tempoh darurat untuk memohon Tuanku lanjutkan tempoh ini,” kata Mahfuz.

Mahfuz dipercayai mengulas kenyataan Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang menyatakan perbincangan mengenai sidang Parlimen secara hibrid akan diadakan awal Ogos nanti manakala sidangnya paling cepat boleh diadakan pada akhir Ogos.