Malaysia Dateline

Sidang kemuncak AS-Korea Utara: Trump, Kim dijangka tandatangani deklarasi Hanoi

Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dijangka mengadakan rundingan di Hanoi pada Khamis, selepas bertukar-tukar pandangan yang disifatkan oleh media rasmi Pyongyang sebagai “tulus serta mendalam” berkaitan usaha pembasmian senjata nuklear dan keamanan sehari sebelum itu, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Mereka dijadual mengadakan pertemuan empat mata pada pukul 9 pagi di Sofitel Legend Metropole Hanoi bagi membincangkan hubungan dua hala sebelum melanjutkannya selama 45 minit untuk melibatkan para pembantu dan pegawai lain, menurut Rumah Putih.

Selepas mengadakan perbincangan semasa makan tengah hari, kedua-dua pemimpin merancang untuk menandatangani satu kenyataan bersama pada kira-kira pukul 2 petang, yang mengandungi “Deklarasi Hanoi.”

Masih tidak jelas sama ada perjanjian itu bakal mengandungi pelan Pyongyang untuk pembasmian senjata nuklear secara konkrit dan langkah timbal balik Washington.

Bercakap kepada pemberita mengenai kemungkinan mengisytiharkan bahawa Perang Korea 1950-1953 telah berakhir semasa pertemuan pada Rabu dengan Kim, Trump berkata “Kita akan lihat nanti.”

Media rasmi Agensi Berita Pusat Korea melaporkan bahawa kedua-dua pemimpin kini mencari satu kesepakatan yang “komprehensif dan menempa sejarah.”

Trump juga merancang untuk memberi taklimat kepada pemberita mengenai hasil rundingan minggu ini dengan Kim sebelum berlepas pulang ke Washington pada petang Khamis.

— BERNAMA