Sidang kemuncak Asia-Eropah, peluang besar Malaysia di persada antarabangsa

Sidang kemuncak Asia-Eropah, peluang besar Malaysia di persada antarabangsa
Wan Azizah tiba di Brussel, Belgium untuk sidang puncak Asia-Eropah. Ia program pertama pimpinan PH bersama pimpinan Eropah.

Pimpinan baharu kerajaan Malaysia kini berpeluang untuk meningkatkan kerjasama dan persefahaman dengan rakan-rakannya dari Asean dan Eropah selepas buat pertama kalinya mereka bertemu dalam sidang kemuncak Asia-Eropah (ASEM) baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah mengetuai delegasi negara ke Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) yang ke-12 di Brussels, Belgium baru-baru ini. Delegasi ini turut disertai oleh Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Luar dan beberapa pegawai kanan Kementerian Luar Negeri.

Ini adalah kali pertama pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan menghadiri sidang kemuncak bersama rakan-rakan dari Eropah. Ini merupakan peluang yang penting bagi negara meningkatkan kerjasama dan persefahaman bersama di antara dua benua ini.

Walaupun sidang ini menyaksikan 53 pihak terlibat (30 negara Eropah, 21 negara Asia, termasuk Kesatuan Eropah (EU – European Union) dan Sekretariat ASEAN, tetapi sudut pandang Malaysia lebih signifikan kepada perhubungan dengan EU secara amnya. Hal ini dapat disingkapi terutamanya daripada sudut sejarah.

Dr. Patrick Ziegenhain, Profesor Pelawat di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, menyatakan di dalam buku Hubungan EU-ASEAN: Perspektif dari Malaysia, sejak ASEAN ditubuhkan pada tahun 1967, ia mengambil masa 5 tahun untuk ASEAN berbincang bersama rakan-rakan dari Eropah.

Lebih tepat lagi, tahun 1972 menyaksikan berbincangan rasmi pertama antara ASEAN dan Komuniti Eropah. Ini merupakan tarikh penting wujudkan interaksi rasmi antara organisasi dua benua ini.

Padal awalnya, perbincangan hanya tertumpu kepada soal ekonomi dan perdagangan. Terutamanya apabila ASEAN ketika itu berada di kedudukan baik untuk mengekspot komoditi ke negara-negara Eropah.
Tetapi, sehingga sekitar tahun 90s, rata-rata melihat hubungan ASEAN dan EU hanyalah sebagai penerima-pemberi dana sahaja. Dalam erti kata lain, kedua-dua belah pihak tidak berada di kedudukan setaraf.

Selepas berakhirnya Perang Dingin, Kesatuan Eropah telah memperkenalkan polisi baru yang mengaitkan isu-isu hak asasi manusia, proses demokrasi dan perlindungan alam sekitar, sebagai syarat tambahan untuk hubungan perdagangan.

Oleh itu, politik dalaman rantau ASEAN tidak menyenangkan Kesatuan Eropah selepas pengenalan polisi ini. Seperti pemerintahan askar di Myanmar dimana EU bertegas meletakkan syarat hak asasi manusia, proses demokrasi, antara lain, perlu diutamakan jika kedua-dua benua terus berdagang. Krisis Timor Leste (penglibatan Indonesia dalam krisis di negara tersebut) juga turut memberi kesan kepada hubungan antara dua organisasi ini.

Walaubagaimanapun, mutakhir ini, hubungan ekonomi dan perdagangan telah diberikan keutamaan sekali lagi, melebihi faktor politik dalaman.

Apabila ekonomi ASEAN melonjak naik pada tahun 2000, Kesatuan Eropah akhirnya mengambil langkah pragmatik. Dengan populasi sekitar 500 juta orang di ASEAN, hal ini telah menarik minat EU untuk meneroka kemakmuran ekonomi bersama.

Sebagai buktinya, ASEAN merupakan rakan dagang ketiga tertinggi bagi EU, selepas Amerika Syarikat dan China, dengan jumlah 250 billion Euro dalam sektor servis dan barangan. Manakala negara-negara Kesatuan Eropah pula rakan dagang kedua tertinggi bagi ASEAN.

Kini, Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (‘Negotiation of Free Trade Agreement’) antara Kesatuan Eropah dan negara-negara individu ASEAN juga turut pesat berlangsung.

Tetapi, kolumnis veteran dari Thailand, Kavi Chongkittavorn tetap berwaspada akan dinamika politik dalaman yang berlaku di Kemboja yang mungkin sedikit sebanyak, berpotensi merengangkan hubungan antara ASEAN-EU. Terutamanya apabila pemimpin Kemboja telah menekan ruang demokrasi bagi parti pembangkang di negara tersebut.

Beliau seterusnya berpendapat bahawa perlunya mengekalkan komunikasi terbuka antara Kemboja dan komuniti antarabangsa, demi mengelakkan ‘unintended consequences’.

Walaubagaimanapun, berdasarkan penyataan pengerusi ASEM, sidang kemuncak kali ini merupakan platform utama untuk mengeratkan hubungan antara dua benua dalam mengukuhkan dialog, kerjasama dalam menangani cabaran-cabaran dunia yang mendatang.

Bagi Malaysia pula, ia peluang bagi negara untuk menyatakan pandangan dengan lebih mendalam tentang isu-isu bertema di sidang tersebut, antara lain; ‘Trade and Investment’, ‘Connectivity’, ‘Sustainable Development and Climate’, dan ‘Security Challenges i.e Terrorism, Non-Proliferation, Cyber-Security, Irregular Migration’.