Malaysia Dateline

Sidang Kemuncak Belia KL: Resolusi mengenai pemberdayaan belia dipersetujui

Sidang Kemuncak Belia Kuala Lumpur 2019 selama dua hari, berakhir hari ini dengan beberapa resolusi dipersetujui berkaitan pemberdayaan belia di negara-negara Islam.

Delegasi daripada 22 negara yang berkumpul untuk acara permulaan kepada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL) 2019 itu, berbincang mengenai enam kluster bertujuan mengukuhkan kesejahteraan belia menerusi pendidikan, memangkinkan ekonomi digital dan mengukuhkan masa hadapan belia dalam politik.

Kluster lain merangkumi ekonomi gig dan kemampanan, penyesuaian kepada cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) dan menyebarluaskan integriti dan ketelusan dalam memastikan tadbir urus yang baik.

Antara lain, mereka menyokong penubuhan satu badan pemantauan pemberdayaan belia bagi mengikuti perkembangan dan penyampaian inisiatif, isu dan isyarat daripada negara yang menyertai, berkaitan belia.

Mereka juga merancang untuk menandatangani memorandum perjanjian untuk mewujudkan kesahan dan batasan badan itu.

Satu lagi resolusi adalah menyeru kepada kewujudan program inkubasi perniagaan untuk usahawan baharu.

Delegasi turut mendesak penubuhan ‘Youth’s House of Ideas’, satu kumpulan pemikir pendidikan yang ditugaskan mengenal pasti isu dan masalah utama dalam sektor dalam kalangan negara Islam.

Mengenai IR 4.0, peserta mencadangkan penubuhan yang dikenali sebagai ‘Youth Powerhouse’ memfokuskan antara lain, latihan dan pendidikan IR 4.0 serta menyediakan pekerjaan melalui perhubungan dengan syarikat-syarikat di dunia Islam.

Resolusi berkenaan akan dikemukakan kepada para pemimpin yang mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak KL berlangsung mulai malam ini sehingga Sabtu.– BERNAMA