Malaysia Dateline

Sidang Kemuncak KL 2019 inisiatif agresif untuk tangani nasib umat Islam

Ahmad Azam Ab Rahman

Sidang Kemuncak KL 2019 yang dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 21 Disember ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dilihat sebagai suatu inisiatif yang lebih agresif bagi menangani permasalahan umat Islam, kata Timbalan Setiausaha Agung Kesatuan NGO Dunia Islam (UNIW), Ahmad Azam Ab Rahman.

Kata beliau, kehadiran suara-suara yang kritikal terhadap nasib umat Islam ke sidang kemuncak ini iaitu Perdana Menteri Dr Mahahir Mohamad, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Iran Hassan Rouhani, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, dan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani dijangka dapat menjadi kumpulan pendesak yang lebih agresif ke arah perubahan.

Dr Mahathir katanya terkenal bersuara lantang membangkitkan masalah umat Islam, begitu dengan pemimpin Turki, Pakistan, Iran dan Qatar.

Selain itu katanya kehadiran aktivis, cendekiawan, ulama dan wakil-wakil NGO ke persidangan ini tentunya akan memberikan imput yang sangat berkesan kepada sidang kemuncak ini, berbeza dengan pesidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dihadiri hanya oleh pimpinan atau ketua negara.

“Kalau OIC itu, ia lebih kepada suara-suara yang mewakili kerajaan serta diplomasi, tetapi di sidang kemuncak ini ia merupakan jaringan antara pemimpin, cendekiawan, ulama dan NGO,” kata beliau sewaktu dihubungi Malaysia Dateline.

OIC yang menyambut ulang tahun ke-50 pada tahun ini katanya dilihat terlalu besar dan birokratik, justeru perlu ada satu kumpulan kecil yang lebih tegas dan agresif dan ekoran itu OIC hendaknya selepas itu dapat berfungsi lebih tegas.

Beliau yang juga wakil Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC), OIC itu selanjutnya berkata, sidang kemuncak ini merupakan manifestasi daripada cita-cita ingin melakukan perubahan kepada dunia Islam.

Justeru, kerjasama yang diwujudkan hasil sidang kemuncak ini kata Ahmad Azam, perlu dimanfaatkan untuk membela umat Islam, biarpun usaha tersebut bermula kecil.

Tambah beliau, mewujudkan saluran tv untuk menangkis serangan Islamaphobia merupakan langkah yang sangat tepat untuk diambil.

“Turki boleh menawarkan kepakaran dalam bidang media dan Malaysia mungkin boleh menyediakan kandungannya,” kata beliau.

Ditanya sama ada sidang kemuncak ini akan mengganggu kelancaran OIC, beliau berkata OIC perlu melihat bahawa kumpulan kecil ini sebagai penyumbang ke arah menampung kerja-kerja OIC itu sendiri.

Ahmad Azam yang juga Presiden Abim itu menyimpulkan Sidang Kemuncak KL 2019 ini merupakan suatu pendekatan baharu setelah begitu lama umat Islam mengambil pendekatan diplomatik, politik dan menyuarakan bantahan.

“Kali ini kita melihat kelantangan Erdogan dalam berhadapan dengan Israel dan Amerika, kelantangan Dr Mahathir menyuarakan nasib umat, kemunculan Imran Khan dan Presiden Iran,” tambah beliau.

Sidang kemuncak berkenaan antara lain akan membincangkan dan mencari jalan penyelesaian baharu terhadap masalah menimpa dunia Islam serta memperbaiki keadaan umat Islam dan negara Islam.

Persidangan itu juga bertujuan untuk membentuk jaringan antara pemimpin Islam, cendekiawan, ulama dan pemikir di seluruh dunia, serta menghidupkan semula tamadun Islam.

Dengan tema “Peranan Pembangunan Dalam Mencapai Kedaulatan Nasional” sidang kemuncak itu akan dihadiri 450 orang pemimpin Islam, pemikir, intektual dan ulama dari seluruh dunia.

Lima pemimpin negara yang akan hadir ialah Perdana Menteri Dr Mahahir Mohamad, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Iran Hassan Rouhani, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, dan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani.