Malaysia Dateline

Sidang Kemuncak KL bukan medan cakap-cakap kosong, kata Samsudin

Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 tidak akan menjadi medan cakap-cakap kosong sahaja, sebaliknya ia bakal menjadi platform mencari penyelesaian konkrit terhadap permasalahan yang dihadapi dunia Islam sejagat.

“Kita tidak mahu cakap-cakap sahaja, kita nak (penyelesaian) konkrit. Jadi apa-apa projek yang difikir serta nak dijalankan oleh negara-negara terbabit akan dapat dilaksanakan,” kata Setiausaha Agung Bersama Sidang Kemuncak KL, Tan Sri Samsudin Osman.

Sidang Kemuncak KL adalah untuk mencari penyelesaian praktikal dan berkekalan serta dapat mengatasi masalah, katanya dalam program televisyen ‘Ruang Bicara’ terbitan Bernama.

“Kita bukan hanya nak berbincang. Kita akan cuba cari penyelesaian untuk dijadikan tindakan-tindakan tertentu,” kata bekas ketua setiausaha negara itu.

.Sidang kemuncak yang akan berlangsung mulai 18 hingga 21 Dis di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu bertujuan, antara lain, membincangkan dan mencari jalan penyelesaian baharu yang menimpa dunia Islam dan menyumbang ke arah memperbaiki keadaan umat Islam dan negara-negara Islam.

Sidang kemuncak itu juga bertujuan untuk membentuk jaringan antara pemimpin Islam, cendekiawan, ulama dan pemikir di seluruh dunia serta menghidupkan semula tamadun Islam.

“Kita ambil Islamofobia, sebagai contoh. Ini satu perkara yang perlu ditangani kerana agama Islam yang suci murni telah diseleweng oleh pihak tertentu, jadi orang mempunyai persepsi negatif terhadap Islam. Sepatutnya orang tidak takut dan khuatir,” kata Samsudin.

Beliau berkata soal keutamaan pembangunan dan cabaran-cabarannya turut akan menjadi tumpuan perbincangan sidang kemuncak itu.

“Kita cakap pasal pembangunan. Kita tidak akan dapat membuat perkara lain kalau negara kita tidak membangun,” katanya.

Sidang kemuncak itu, katanya, adalah satu platform bagi negara-negara Islam untuk bersatu dalam membantu antara satu sama lain.

Lebih 400 peserta dari 53 negara telah mengesahkan kehadiran mereka sehingga kini.

Samsudin berharap penganjuran sidang kemuncak itu akan mendapat sokongan rakyat Malaysia sendiri kerana apa yang dibuat adalah untuk mencari penyelesaian bagi pembangunan ummah dan negara Islam.– BERNAMA