Malaysia Dateline

Sidang Kemuncak KL membuahkan hasil ketara

Penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019 membuahkan hasil ketara yang digariskan dalam usaha membawa kemajuan dan memperbaiki keadaan ummah, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata sidang kemuncak itu menyaksikan 18 pertukaran instrumen dalam pelbagai bidang termasuk teknologi tinggi yang canggih; kolaborasi media, pusat kecemerlangan, jaminan makanan dan kepimpinan belia serta pertukaran program.

“Ada beberapa lagi yang sedang dirangka, sedang diusahakan hasil perbincangan semasa sidang kemuncak ini,” katanya semasa berucap di majlis penutupan sidang kemuncak empat hari itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Sidang Kemuncak KL berkata, diharapkan saudara-saudara Islam yang lain dakan dapat meilihat bahawa hasrat Sidang Kemuncak ini adalah untuk menyatukan ummah di bidang teknologi maju dan strategik.

“Hanya dengan memiliki pengetahuan inilah, satu-satunya harapan kita bagi menghentikan perbuatan buli dan penindasan oleh musuh-musuh kita terhadap ummah,” katanya.

“Kita mengakui bahawa seluruh umat Islam adalah saudara kita, dan langkah kecil yang kita ambil ini akan menjadi permulaan kepada satu perjalanan yang jauh dan bermanfaat dengan seluruh ummah,” kata Dr Mahathir yang juga pengerusi Sidang Kemuncak KL .

Dr Mahathir berkata aspek paling penting merujuk kepada sidang kemuncak – ekonomi, sains dan teknologi, di samping industri pertahanan – adalah perlunya memiliki keupayaan untuk menghasilkan dan mencipta teknologi tempatan yang baharu.

“Selagi kita bergantung kepada teknologi ciptaan musuh Islam; selamanya mereka akan peroleh manfaat, dan menguasai serta mengawal usaha-usaha kita untuk memperbaiki teknologi kita, dan sistem pertahanan khususnya.

Dr Mahathir berkata perbincangan turut menyentuh mengenai isu mata wang dan cara perdagangan sesama negara-negara Islam, di mana beliau mencadangkan supaya dikaji semula idea perdagangan dengan menggunakan dinar emas dan sistem barter.

Beliau berkata penting juga bagi beliau untuk menyatakan bahawa Iran khususnya, walaupun bertahun-tahun berdepan perintah sekatan, mampu terus maju dan berkembang, dengan mempunyai jumlah jurutera keempat tertinggi di dunia.

Pemimpin Malaysia itu berkata Qatar juga telah dikenakan sekatan dan, seperti Iran, turut berjaya bangkit dan berkembang maju dengan hebat.

“Bagaimanapun, sekatan sedemikian tidak semata-mata merujuk kepada Iran dan Qatar sahaja. Semasa dunia menyaksikan negara-negara membuat keputusan unilateral bagi mengenakan langkah-langkah berbentuk menghukum seperti itu, Malaysia dan negara-negara lain harus selalu ingat bahawa ia juga boleh dikenakan ke atas mana-mana daripada kita, ” katanya.

Dr Mahathir berkata atas alasan inilah, negara-negara Islam perlu berdikari dan berusaha dengan negara-negara Islam lain untuk memastikan bahawa jika langkah-langkah seperti itu dikenakan kepada mereka, atau apabila dikenakan, mereka mampu menghadapinya.

— BERNAMA