Malaysia Dateline

Sidang Kemuncak KL: Pemetaan baharu geopolitik Islam

 

Mungkin ramai yang masih berasa skeptik dengan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 18 – 21 Disember ini. Ini kerana sudah banyak gagasan dan persidangan mengenai reformasi dan pembaharuan yang ingin dilakukan ke atas dunia Islam tetapi akhirnya menemui jalan buntu atau kegagalan. Ini kerana kebanyakan negara-negara Islam terikat hati dan jiwa kepada kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan kuasa besar yang lain kerana terikatan dengan negara bekas penjajah atau pengaruh kuasa besar yang menguasai ekonomi negara mereka.

Leher mereka telah dijerut dan tidak banyak boleh memberikan komitmen untuk pembangunan dunia Islam.

Apa yang baharu dalam sidang kemuncak KL ini? Bagi saya kerana ia datang dari insiatif tiga negara yang bukan Arab iaitu Malaysia-Turki- Pakistan. Saya melihat  penglibatan negara Arab seolah-olah tidak akan membawa kemajuan bermakna bagi dunia Islam. Lihat kepada OIC yang dipimpin negara Arab, tiada pembaharuan besar yang berlaku.

Isu Palestin sampai sekarang tidak dapat diselesaikan oleh negara-negara Arab malah ada kalangan mereka yang berpuakan pula dengan Arab Saudi yang cenderung menyokong Fatah dan Tebing Barat tetapi Qatar dan Mesir semasa Allahyarham Presiden Mohamad Morsi pula menyokong Hamas. Ada pepecahan dalam kalangan negara Arab, Arab Saudi dengan dukungan Emiriah Arab dan Mesir dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin sebelah Fatah serta Qatar bersendirian menyokong Hamas.

Oleh itu bagi saya, masa depan dunia Islam atau gagasan pembaharuan geopolitik terletak di tangan negara bukan Arab seperti Malaysia, Turki dan Pakistan. Iran adalah negara Islam yang boleh membawa gagasan revolusi menentang negara kuasa besar seperti AS kerana pengalaman mereka amat berharga. Tetapi disebabkan sentimen Syiah dalam kalangan umat Islam bermahzab sunnah. ia akan membawa konotatif negatif pula, dengan dilabel sesat. Kekadang berlaku perang mazhab di Iraq, Syria dan Yaman.

Namun saya masih positif bahawa sidang kemuncak ini sekurang-kurangnya akan membawa anjalan paradigma kepada dunia Islam, suatu pemetaan geopolitik baharu yang tidak tertumpu kepada negara Arab.

Dalam dua dekad yang lalu, Arab Saudi telah terlibat dan terbabit dalam konflik dengan Iran, perang saudara di Yaman dan perseteruan dengan Qatar yang telah melemahkan kedudukannya sebagai pemimpin dunia Islam.

Banyak isu yang gagal ditangani Arab Saudi seperti pembunuhan kolumnis Washington Post yang juga pengkritik kerajaan Arab Saudi, Jamal Khasoggi. Beliau dibunuh sejurus selepas memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober 2018. Di samping itu usaha-usaha permodenan yang dirintis oleh Putera Mahkota Mohamad Salman juga telah dikritik dunia Islam. Pesta musika di Jeddah tidak berapa dulu juga mendapat kritikan daripada ulamak-ulamak kerana Aravb Saudi adalah penjaga dua masjid suci umat Islam iaitu di Mekah dan Madinah.

Sehubungan itu ketidakstabilan Timur Tengah (Revolusi Arab Spring), kemunculan Islamic State (ISIS) telah melemahkan negara Arab, meninggalkan dunia Islam bagaikan putus tali kepimpinan terutamanya negara bukan Arab dan OIC yang diterajui oleh negara Arab tidak banyak membantu.

Oleh itu insiatif Malaysia-Pakistan-Turki dapat difahami dan diinterpretasikan sebagai gerak balas kepada kekosongan atau kelolongan dalam kepimpinan dunia Islam dan mengalami kebekuan dalam pembangunan ketamadunan Islam yang dialami 1 bilion umat Islam sejagat.

Negara Arab harus belajar daripada ketiga-tiga negara ini. Negara Arab kaya dengan minyak tetapi tidak dapat membantu negara Islam lain. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir sendiri berkata:, “kebanyakan negara Islam sedang berhadapan dengan masalah dalamannya… tetapi ketiga-tiga negara ini … saya fikir dapat meluangkan masa menghadiri perkara penting ini.”

Geopolitik dunia Arab-Islam sangat terikat dengan politik dan penguasaan Amerika serta Israel seolah-olah dunia Islam di luar negara Islam bukan Arab tidak memberikan sumbangan dan peranan dalam pembinaan tamadun Islam.

Negara Arab tidak seharusnya bersifat bongkak dan mereka harus belajar daripada inisiatif di sidang kenuncak ini, gabungan Malaysia-Turki-Pakistan (dengan pengecualian kepada Qatar) yang menjadi pembuka tirai kepada pemetaan geopolitik baharu dan pembinaan semula kepada ketamadunan Islam yang lesu.

Bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, sidang kemuncak ini hadir dengan naratif Rahmatan lil Alamin untuk memberitahu kepada dunia bahawa Islam adalah agama yang progresif, produktif dan mahukan keamanan.

“Agama Islam ini mencari ruang untuk kita mengurangkan ketegangan dan umat Islam mahu hidup sebagaimana orang lain hendak hidup, menyumbang kepada kebahagiaan dan kesejahteraan dunia.

“Mesej ini sangat penting kerana ia akan melakarkan kehendak sebenar Islam…kita akan lihat apa sumbangan KL Summit ini kepada dunia,” katanya.

Enam negara — Malaysia, Pakistan, Turki, Qatar, Indonesia, Pakistan dan Iran akan menjadi perintis sidang kemuncak itu yang akan berlangsung dari 18 hingga 21 Disember di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Dianggarkan seramai 450 pemimpin Islam, pemikir, intelektual dan cendekiawan dari seluruh dunia dijangka menghadiri sidang kemuncak itu.

Sidang kemuncak itu akan membincangkan mengenai isu umat Islam berdasarkan tujuh teras iaitu pembangunan dan kedaulatan; integriti dan tadbir urus yang baik; budaya dan identiti; keadilan dan kebebasan; keamanan, keselamatan dan pertahanan; perdagangan dan pelaburan; serta tadbir urus internet dan teknologi.

*Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunis, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran Unisel dan juga Felo Institut Masa.