Malaysia Dateline

Sidang Kemuncak KL: Pentas terbaik kerjasama ke arah kemandirian ketenteraan

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menekankan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL) adalah pentas terbaik bagi mengadakan kolaborasi dalam penerokaan memajukan kaedah komprehensif pertahanan dan keselamatan bersandarkan prinsip Islam.

Mohamad berkata walaupun kebanyakan negara Islam adalah pengimport peralatan ketenteraan, tetapi sekarang dan dalam penujuan ke arah masa depan, kita harus merasakan determinasi dalam kalangan negara Islam (termasuk saudara-saudara kita yang hadir di sidang ini) untuk mencapai ke arah kemandirian dalam bidang ketenteraan.

Dengan ini, jelas Mohamad, dalam hubungan dengan kemandirian pertahanan, kita semua mengetahui bahawa kecekapan sesebuah negara dalam bidang sains dan teknologi akan banyak menyumbang ke arah keupayaan ketenteraan dan kuasa ekonomi.

Mohamad berucap di sidang plenari sesi 3 Sidang Kemuncak KL mengenai ‘Kemajuan Teknologi Tinggi’.

Mohamad menambah perang masa depan akan bergerak ke arah peperangan berbentu hibrid yang menggunakan kuasa ketenteraan konvensional dengan didukungi oleh taktik-taktik tidak lazim dan siber yang membentuk realiti kenteraaan abad ke-21.

“Oleh itu dalam berhadapan dengan peperangan hibrid, kita harus memperkuatkan negara dengan Kegiatan Elektromagnetik Siber (CEMA), melengkapkan kekuatan tentera semasa bagi meningkatkan persediaan terhadap ancaman siber yang berniat jahat dan membentuk Perintah Elektromagnetik Siber. (Electromagneric Cyber Command atau ECC); Perisian Sistem Pengurusan Kombat dan Sistem Intergrasi; Pengawasan Radar Persisiran Pantai; pemindahan teknologi dalam bidang rekabentuk litar intergrasi; pembangunan dan reka bentuk kapal, penghasilan senjata dan peralatan lain.

“Perang masa depan memerlukan pertahanan masa depan. Keupayaan pertahanan masa depan termasuklah sistem kawalan jauh ruang udara, perairan dan darat.

“Negara juga harus ke depan dalam C4ISRT – (Command, Control, Communications, Computers, Intelligence, Surveillance, Reconnaissance and Targeting) dalam mempertahankan keamanan dan keselamatan.

“Di samping itu, kita harus memperlengkapkan diri dalam kemajuan teknologi yang sejajar dengan Revolusi Industri 4.0 seperti Kecerdasan Buatan dan ‘Internet of Things’,” kata beliau.

Sehubungan itu jelas Menteri Pertahanan berkata perang masa depan dicirikan oleh tentera bestari di mana unit tentera yang kecil dapat mengemukakan impak yang dilengkapi dengan pengetahuan dan kepakaran terkini, termasuk sistem persenjataan dan komunikasi moden, disertai mobiliti dan perlindungan yang lebih baik untuk perang masa depan.

Mohamad adalah antara empat orang penceramah yang berucap di Sesi Plenari 3 bertajuk :Kemajuan Teknologi Tinggi di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini.

Sesi dimoderasikan oleh ahli jawatankuasa Sidang Kemuncak dari Lubnan, Osama Hamdan, penceramah lain di sesi ini adalah Pakar Teknologi Rusia, Igor Ashmanov dan Pensyarah Sains Gunaan Universiti Zurich Prof Khaldoun Dia Eddine.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut hadir bersama-sama dengan peserta dan perwakilan lain di sesi tersebut.