Malaysia Dateline

Sidang Kemuncak KL 2019: Erdogan kritik isu kebajikan negara-negara Islam

Tanpa menyebut mana-mana nama pertubuhan, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan hari ini menyelar badan tersebut yang sepatutnya menjaga kebajikan negara-negara Islam.

Dalam ucaptamanya pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Kuala Lumpur, beliau berkata, pertubuhan itu hanya ditubuhkan untuk menjaga kebajikan beberapa negara tertentu.

Tegasnya, pertubuhan tersebut tidak mengambil kira tekanan dan permasalahan yang dialami negara Islam yang kurang bernasib baik.

Kritikan Erdogan itu dipercayai merujuk kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berpangkalan di Jeddah, Arab Saudi.

“Kita masih tidak melihat sebarang kemajuan mengenai nasib rakyat Palestin. Kita masih gagal menghentikan eksploitasi ke atas sumber kita, dan kita masih gagal mengatakan ‘sudah’ kepada perpecahan yang berlaku dalam Islam ekoran perbezaan mazhab,” ujarnya.

Beliau selanjutnya menyifatkan sidang tersebut sebagai medan yang boleh memberi peluang kepada negara Islam untuk bercakap mengenai pelbagai isu, dari Islamofobia kepada keganasan, perpecahan, pertelingkahan dalaman yang merosakkan rantau umat Islam serta konflik antara mazhab dan etnik.

Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (KL Summit 2019) telah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan ucapan alu-aluan disampaikan Dr Mahathir, yang juga merupakan Pengerusi KL Summit 2019.

Sebelum ini, Arab Saudi dilapor kurang menyenangi penganjuran KL Summit di Kuala Lumpur sehingga Raja Salman Abdulaziz Al-Saud mengambil keputusan untuk tidak menghadiri sidang kemuncak itu.

Beberapa media antarabangsa termasuk Al-Jazeera dan Reuters melaporkan Arab Saudi bertegas bahawa sebarang perbincangan mengenai isu negara Islam sebenarnya harus berlaku di pentas OIC sahaja.

Selain Raja Salman, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan turut membatalkan kehadirannya di saat-saat akhir, didakwa ekoran tekanan yang dikenakan Arab Saudi ke atas negara itu.