Malaysia Dateline

Sidang Kemuncak Mekah pertahan Palestin

Ketua negara dan pemimpin politik negara Islam mengutuk dasar beberapa buah negara yang mengambil keputusan untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negeri Israel, menurut laporan Al Jazeera. Pimpinan-pimpinan negara Islam itu juga turut menyifatkan keputusan tersebut sebagai ‘haram dan tidak bertanggungjawab’.

Dalam kenyataan bersama pada hari Sabtu yang melibatkan 57 buah negara yang bernaung di bawah Organization of Islamic Cooperation (OIC) itu, pimpinan menyeru supaya negara-negara yang membuat keputusan untuk memindahkan kedutaan ke Baitulmaqdis untuk membuat penilaian semula. Hal ini kerana keputusan tersebut telah ‘melanggar undang-undang antarabangsa’.

Persidangan itu juga menyeru negara anggota untuk mengambil ‘tindakan sewajarnya’ terhadap negara-negara yang membuat keputusan tidak bertanggungjawab itu.

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat (AS) telah mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negeri Israel pada Disember 2017. Keputusan tersebut telah melanggar protokol yang telah di amal sejak berdekad lalu. Pada Mei 2018, AS telah memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Guatemala kemudian turut ikut langkah AS.

“Rakyat Palestin mempunyai hak untuk bernegara, termasuk hak untuk mandiri dan hak untuk mendirikan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat,” menurut kenyataan bersama sidang kemuncak ini.