Malaysia Dateline

Sidang Khas awal Ogos, Hibrid akhir, cadang Speaker

Speaker Dewan Rakyat dan Speaker Dewan Negara mencadangkan persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos ataupun selewat-lewatnya minggu pertama September 2021.

Dalam kenyataan Tan Sri Rais Yatim dan Datuk Azhar Azizan Harun berkata, inisiatif utama ini demi menjamin keutuhan Parlimen sebagai institusi tertinggi negara sentiasa terpelihara.

Bagaimanapun katanya, beberapa perincian lain akan diumumkan kemudian setelah Jawatankuasa Teknikal selesai berurusan.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Khas Pemandu Persidangan Parlimen Secara Hibrid menjangkakan semua aspek perundangan dapat diselesaikan pada akhir bulan Julai sekiranya diluluskan di Peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan-peraturan Mesyuarat.

Jawatankuasa Khas ini dipengerusikan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Dewan Rakyat dan dianggotai oleh Timbalannya dan Setiausaha kedua-dua Dewan serta urus setia Parlimen Malaysia di bawah pimpinan Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia telah ditubuhkan.

“Adalah dicadangkan agar satu sidang Khas Parlimen diadakan pada awal bulan Ogos tertakluk kepada syarat-syarat ketat pencegahan penularan COVID-19 yang dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Jawatankuasa Khas ini akan mengkaji dan meneliti aspek teknologi dan metodologi perjalanan persidangan hibrid dan telah mencadangkan untuk diadakan persidangan Dewan Negara dan Rakyat secara hibrid.

“Persidangan hibrid ini melibatkan kehadiran fizikal sekurang-kurangnya 26 Ahli Dewan Rakyat untuk menepati kehendak korum, dan 10 Ahli Senator di Dewan Negara dan selebihnya mempunyai pilihan sama ada hadir secara fizikal ataupun maya,” katanya.

Katanya, Jawatankuasa Khas ini akan memberi komitmen untuk melakukan segala yang terdaya supaya kemudahan persidangan hibrid dapat disediakan seberapa segera yang mungkin, selepas kuasa Perdana Menteri selaku Ketua Majlis untuk menetapkan tarikh persidangan.

“Beberapa persiapan dari aspek perundanga, pentadbiran, teknikal, perolehan, bekalan serta latihan diperkemaskan dan hal ini telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri semalam,” katanya.