Malaysia Dateline

Sidang khas Parlimen berkenaan Covid-19 kembalikan keyakinan rakyat

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berpendapat sidang Khas Parlimen mengenai wabak Covid-19 perlu diadakan bagi mengembalikan semua kepercayaan dan keyakinan rakyat.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, tiba masanya untuk melaksanakan strategi melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan pandemik tersebut.

Beliau berpendapat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilaksanakan bermula 13 Januari telah gagal untuk menumpaskan gelombang ketiga wabak Covid-19.

“Kita adalah satu-satunya negara di Asia, selain daripada Indonesia, yang berhadapan dengan peningkatan yang berpanjangan dan serius, yang telah berlanjutan lebih daripada empat bulan lamanya.

“Tiga minggu yang lepas, Jepun mengisytiharkan darurat di kawasan besar Tokyo selepas mencatatkan peningkatan kes yang memecahkan rekod sebelumnya.

“Daripada peningkatan sebanyak 7,855 kes sehari pada 9 Januari, Jepun kini hanya mencatatkan 3,537 kes semalam,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebaliknya, beliau berkata, Malaysia masih tidak dapat melihat penghujung terowongnya.

“Lebih daripada tiga bulan yang lepas, kita berada di tempat ke-85 dari segi jumlah kes terkumpul di seluruh dunia.

“Namun kita telah melonjak 29 kedudukan dan kini berada di tempat ke-56 dan bakal naik ke tempat ke-55 sekiranya jumlah kes baharu hari ini melebihi 3,000 kes,” ujarnya.

Kit Siang turut menggesa agar jangkaan Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan (IHME) di Amerika Syarikat salah apabila meletakkan angka lebih daripada 20,000 kes Covid-19 sehari pada 3 Mac nanti.

“Selepas daripada titik kemuncak ini, IHME menjangkakan penurunan jumlah kes Covid-19, sehingga 14,419 kes pada 1 Mei.

“Kita perlu buktikan jangkaan IHME ini salah. Namun, kita memerlukan strategi baharu untuk melakukan perkara ini,” ujarnya lagi.