Malaysia Dateline

Sidang Parlimen ada agenda peribadi Anwar?

Penulis berasa hairan dengan kenyataan Ketua Penerangan Bersatu mengenai desakan Ketua Pembangkang supaya parlimen bersidang dengan mahukan pula satu jaminan supaya tiada agenda peribadi jika parlimen diizin bersidang.

Sedangkan desakan supaya persidangan parlimen berlangsung bukan sahaja desakan Ketua Pembangkang, malah turut menyuarakan dengan tegas supaya parlimen bersidang adalah juga oleh Mantan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Turut menyuarakan supaya parlimen bersidang dan mahukan juga keabsahan Presiden Bersatu sebagai Perdana Menteri adalah ahli politik berpengalaman Tengku Razaleigh Hamzah!

Boleh dikatakan semua pimpinan yang prihatin dengan suasanan negara dan kemelaratan yang menimpa rakyat mahukan parlimen bersidang supaya semua hal berkait dengan strategi menghadapi pandemik Covid-19, perancangan mengenai ekonomi negara dan membetulkan suasana tidak menentu oleh kerana pendekatan rapoh kerajaan yang menjadi beban kepada rakyat (PKP, PKPP, Darurat & Lockdown).

Adakah DYMM Yang Di Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah juga mempunyai kepentingan dengan menitahkan supaya Parlimen bersidang? Nampak sangat desparadonya kepimpinan Bersatu untuk memastikan agar parlimen tidak bersidang.

Apakah fungsi parlimen? Parlimen adalah badan perundangan bagi Kerajaan Persekutuan yang melulus dan meminda undang-undang Persekutuan, memeriksa dasar-dasar kerajaan serta meluluskan bajet kerajaan dan cadangan cukai yang baru.

Parlimen bukan untuk kepentingan atau agenda peribadi? Yang penulis lihat adalah supaya parlimen tidak bersidang itulah agenda peribadi, menolak kepentingan rakyat, membunuh demokrasi dan kehalobaan terhadap kekuasaan.

Fungsi parlimen terutama dalam menghadapi pandemik ini, selaras dengan titah Duli Raja-Raja Melayu untuk memastikan dasar kerajaan sekarang disemak imbang dengan teliti, membincangkan dan membahaskan perkara berkait dengan proklamasi darurat, membahas pelan pemulihan yang sangat pincang seperti diluncurkan oleh Perdana Menteri, samada menerima atau menolak atau merangka satu pelan bersama antara anggota parlien, menyemak semula penggunaan Kumpulan Wang Amanah Negara supaya ia selaras dengan kehendak undang-undang dan perlembagaan.

Terlalu banyak yang perlu dibahas di parlimen. Di antara yang perlu diteliti juga oleh ahli-ahli parlimen adalah kajian oleh majalah The Economist yang telah merumuskan kedudukan Malaysia tercorot dalam mengukur sejauh mana prestasi negara untuk kembali kepada keadaan normal selepas wabak Covid-19.

Ini satu hasil kajian yang amat kritis dan perlu di bahas serta tidak boleh dikesampingkan. Jika benar rumusan kajian tersebut maka apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk mengatasinya dengan kadar segera. Faham atau tidak? SEGERA!

Indeks ini adalah hasil kajian terhadap kesediaan dan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi pasca Covid-19 dengan memberikan rumusan berbentuk amaran bahawa negara berada dikedudukan tercorot. Ini menggambarkan kemampuan negara untuk kembali normal lepas Covid-19 dan menggambarkan kegagalan pendekatan kerajaan. Ia tidak boleh dipandang ringan kerana ia amat terkait dengan pelan pemulihan yang diheboh-hebohkan oleh kerajaan.

Rumusan The Economist ini tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja atau dilihat remeh kerana rumusannya menunjukkan Malaysia amat ketinggalan berbanding Indonesia, Singapura dan Filipina.

Berhentilah dari menipu rakyat tanpa fakta dan data-raya yang tepat. Janganlah kaburi rakyat dengan perlbagai ucapan manis sedangkan hakikatnya apa yang dipersembahkan tidak berasaskan kajian yang komprehensif terhadap data-raya (big data) jangkitan dan kesembuhan. Indeks yang hasil oleh kajian The Economist adalah amaran untuk ahli parlimen membahaskannya dengan terperinci strategi pasca Covid-19 dan memberikan rumus penyelesaian.

Fasa-fasa yang dibentang oleh PM tidak mempunyai apa-apa makna kerana ia tidak mempunyai strategi yang mantap dan gerak-kerja yang mampan. Parlimen perlu membahaskannya.

Oleh itu parlimen sudah pasti bukan untuk agenda peribadi tetapi agenda rakyat. Jika terpaksa berlaku undi percaya atau tidak percaya untuk keabsahan sesebuah kerajaan, maka itu juga bukan agenda peribadi tetapi agenda rakyat!

Jika Ketua Pembangkang mempunyai agenda peribadi sudah pastilah tidak berlaku peristiwa 2 September 1998 dan beliau boleh memilih untuk tunduk kepada bekas mentornya! Tiada sehiris keperluan pun bagi Ketua Penerangan Bersatu mempersoal kredebiliti Ketua Pembangkang.
——————-
Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam yang berpengkalan di Jordan dan tulisan ini adalah analisis peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian akademi.