Malaysia Dateline

Sidang Parlimen akan dipendekkan sehingga 2 petang

Tempoh persidangan Dewan Rakyat akan dipendekkan sehingga jam 2 petang sahaja yang akan bermula Isnin ini sehingga 15 Disember depan.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta syarat-syarat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurutnya, mesyuarat Penyelarasan Covid-19 yang dipengerusikannya itu turut dihadiri Ketua-ketua Whip parti.

“Sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pada hari Isnin dan Rabu ialah selama satu jam dari jam 10 pagi hingga 11 pagi.

“Pada hari Selasa dan Khamis, sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan ialah selama 55 minit dari jam 11 pagi. Hanya satu soalan tambahan dibenarkan dan soalan tambahan tersebut mestilah seringkas boleh.

“Waktu pertanyaan menteri (MQT) pula akan dilaksanakan setiap Selasa dan Khamis selama lima minit dari jam 10 pagi.

“Ahli-ahli Yang Berhormat berkenaan akan membacakan soalan beliau dan Yang Berhormat Menteri berkenaan akan menjawab secara bertulis pada hari sama. Soalan akan disiarkan di portal Parlimen secepat mungkin,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membacakan Pemasyhuran daripada Yang Di-Pertua di Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun

Tambah Azhar, perbahasan di peringkat Dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2021 akan berlangsung selama lapan hari iaitu mulai Isnin, 9 November hingga 12 November; dan 16 November hingga 19 November, 2020

Sementara itu, jawapan menteri di peringkat dasar kekal selama tiga hari iaitu pada Isnin, 23 hingga 25 November.

“Perbahasan di peringkat jawatankuasa selama 11 hari iaitu mulai 30 November hingga 15 Disember,” katanya.

Jelasnya, jumlah hari persidangan Mesyuarat Ketiga itu juga boleh ditambah sebanyak dua hari lagi iaitu 16 dan 17 Disember sekiranya perlu,” katanya lagi.