Malaysia Dateline

Sidang Parlimen ‘bagai melepaskan batok di tangga’

Baru-baru ini saya terbaca di media sosial ada seorang ahli Bersatu menempelak pemimpin PH kerana mahu memulaukan Sidang Parlimen yang dijadual diadakan pada 26 Julai nanti.

Katanya, gelagat pemimpin PH memeningkan kepala. Tiada sidang Dewan Rakyat, sibuk meminta diadakan. Setelah bersetuju diadakan, mahu memulaukan pula.

Ternyata ahli Bersatu itu hanya mahu menyokong Tan Sri Mahiaddin Yassin tanpa melihat keadaan sebenar.
Apakah dia tidak sedar Kerajaan PN yang diketuai ‘Abah’nya itu telah berkali-kali memandang sepi gesaan Yang di-Pertuan Agong (YdPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Raja-Raja Melayu supaya sidang Parlimen segera diadakan.

Setelah pemimpin PH yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan netizen berterusan mengecam/mendesak, barulah Kerajaan PN bersetuju.

Anwar juga menegaskan gesaan YdPA dan Raja-Raja Melayu pada 16 Jun, dan 29 Jun (termasuk pada 24 Februari) lalu turut memberi kesan.

Gesaan YdPA dan Raja-Raja Melayu dibuat selepas pertemuan bersama-sama Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang dianggotai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, serta dianggotai kerajaan dan pembangkang selain pakar kesihatan negara secara dwipartisan.

Oleh kerana ‘malu-malu alah’, sidang Dewan Rakyat akhirnya seperti terpaksa diadakan. Jika ikhlas, ia akan diadakan mengikut tempoh sebagaimana biasa, dan sewajarnya. Malangnya, ia hanya sidang khas, dan tentulah dibantah.

Justeru, kalau hanya ‘seperti melepaskan batok di tangga’, lebih baik tidak diadakan. Tidak pelik kalau ahli Parlimen PH memulaukannya.

Sebelum itu, pada 2 Julai lalu, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan mencabar Anwar memberikan jaminan bahawa beliau tidak akan menggunakan pembukaan sidang Parlimen untuk kepentingan peribadi.

Tegas Wan Saiful, peristiwa itu perlu digunakan untuk membicangkan isu-isu rakyat. Namun demikian, katanya, mana jaminan serta komitmen Anwar dan anak-anak buahnya bahawa sidang Parlimen wajib diguna untuk membincangkan persoalan rakyat, bukan untuk mengejar impian politik peribadi dengan cara menggugat kestabilan pentadbiran negara.

Menurut Wan Saiful lagi, Kerajaan PN pimpinan Mahiaddin sentiasa terbuka menerima pandangan berbeza daripada pelbagai pihak untuk kebaikan bersama.

Sambil meminta jaminan itu, Wan Saiful turut mendakwa Anwar dan PH juga ghairah cuba meletakkan diri sebagai menyokong titah YdPA agar Parlimen segera bersidang.

Ini, tambahnya, menyerlahkan hipokrasi PH kerana sejak bila mereka benar-benar mempertahan institusi Raja-Raja Melayu.

Wan Saiful juga syak Anwar dan anak-anak buahnya begitu galak menyokong kali ini kerana sudah tidak sabar menyambung usaha menggugat kestabilan negara untuk merampas kerajaan.

Meskipun YdPA dan rakyat mahukan semua pihak berhenti berpolitik ketika negara berperang dengan COVID-19, tetapi Anwar dan anak-anak buahnya, kata Wan Saiful masih rakus ingin merampas kuasa.

Mengata Anwar dan pemimpin PH rakus mahu berkuasa. Walau bagaimanapun, Wan Saiful tidak sedar siapa beliau mahu menggesa Anwar? Mengapa Ahli Parlimen Port Dickson itu perlu memenuhi permintaannya?

Wan Saiful seolah-olah tidak tahu siapa yang asyik berpolitik selama lebih kurang setahun ini. Beliau juga tidak sedar PH memang sedia mempertahan institusi Raja-Raja Melayu.

Kerajaan PN pada 5 Julai lalu bersetuju menasihati YdPA supaya sidang khas Dewan Rakyat bagi penggal ketiga diadakan selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai, dan 2 Ogos depan.

Kenyataaan Pejabat Perdana Menteri (PMO) turut mengumumkan penetapan 3 hingga 5 Ogos depan untuk sidang Dewan Negara.

Tidak cukup dengan itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Mohd Rashid Hasnon menyatakan pihaknya sedang menimbang untuk mengehadkan hanya 80 ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat ketika sidang diadakan.
Sebenarnya, bukan pemimpin PH sahaja. Cadangan itu turut dibantah oleh gabungan NGO yang menggelarkan diri mereka Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional.

Tegas gabungan NGO itu, sepatutnya semua ahli Parlimen dibenarkan hadir. Tidak sebagaimana sidang Parlimen yang lalu, menurut mereka, had itu tidak lagi relevan kerana semua ahli Parlimen telah menerima vaksin COVID-19.

Tambahan pula, dilaporkan hampir semua kakitangan Parlimen, termasuk staf yang mengiringi ahli Parlimen layak menerima suntikan awal vaksin yang sepenuhnya akan selesai menjelang hari persidangan nanti.

Sebagaimana kata gabungan NGO itu pada 21 Julai lalu, dengan SOP yang ketat, semua ahli Parlimen sepatutnya tidak berhalangan untuk menghadiri sidang dengan jumlah penuh.

Dengan hanya 80 dibenarkan, ertinya 140 ahli Parlimen lagi terpaksa ‘membawa diri’.

Gabungan tersebut merangkumi Bersih, Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Engage, dan Bait al-Amanah.

Menurut mereka, negara kini menghadapi pelbagai isu dan masalah yang tidak dapat dibahaskan kerana Parlimen telah ‘bercuti’ selama tujuh bulan.

Kata mereka lagi, PKP, Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Proklamasi Darurat tidak dapat menyelesaikan wabak pandemik maut, serta memulihkan ekonomi yang merudum kerananya.

Jadi, tambah gabungan itu, sudah tiba masa ahli Parlimen diberi ruang seluas-luasnya untuk membawa segala resah rakyat, sekali gus sama-sama menawarkan penyelesaian terbaik.

Mereka menggesa kerajaan mengambil contoh negara lain yang tetap mengadakan sidang Parlimen ketika penularan wabak tersebut, dengan meminda peraturan mesyuarat, dan menggunakan kaedah sidang hibrid.

Ahli-ahli Parlimen, tegas gabungan itu lagi, diingatkan bahawa persediaan untuk persidangan hibrid atau maya tidak perlu sehingga menyekat kuasa mereka, termasuk mengundi, dan tidak harus ditakuti sebagai dalih untuk menunda sidang Parlimen akan datang.

Justeru, mereka menggesa Dewan Rakyat dan Dewan Negara membolehkan jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk menyediakan pindaan peraturan yang perlu agar sidang secara hibrid dapat diadakan, dan meluluskannya pada sidang akan datang.

Memang benar kata gabungan NGO itu bahawa semua ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat adalah anggota barisan hadapan negara, dan harapan rakyat yang mesti diberikan peranan, serta harus berperanan utama dalam situasi genting menentang COVID-19.

Ahli Parlimen memang barisan hadapan kerana mereka antara pihak yang terawal diberikan vaksin sebagaimana petugas kesihatan, dan anggota keselamatan.

Ahli Parlimen Kuantan (PKR), Fuziah Salleh turut mempertikai. Beliau bertanya jika Mahiaddin boleh bersolat Eiduladha bersama-sama 300 jemaah di Masjid Negara, mengapa tidak boleh dengan 220 ahli Parlimen?
Hannah Yeoh dari DAP yang juga Ahli Parlimen Segambut pun menegaskan sedemikian.

Sebelum itu, Rashid berkata soal had 80 ahli Parlimen akan dibincangkan dengan ketua whip parti politik, untuk diputuskan kemudiannya.

Cadangan itu sama seperti sidang sebelum ini, iaitu hanya 80 daripada 222 ahli Parlimen dibenarkan menyertai sidang pada satu-satu masa.

Tambah Rashid yang baru-baru ini kontroversi dengan isu kenduri durian, peruntukan penyertaan yang ditetapkan adalah 44 ahli Parlimen kerajaan dan 36 dari pembangkang.

Sidang Dewan Rakyat dikatakan sidang khas (dan dibantah) kerana bertujuan memberi penerangan kepada ahli-ahli Parlimen mengenai PPN, serta meminda semua perundangan dan peratura bagi membolehkan sidang tersebut diadakan secara hibrid.

Menurut PMO, ia akan diadakan mengikut SOP yang ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara, dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Tambah PMO, nota jemaah menteri telah diedarkan secara berutus kepada jemaah menteri untuk makluman keputusan berhubung sidang Parlimen tersebut.

Anwar sendiri telah menggesa Mahiaddin mengundurkan diri daripada jawatan Perdana Menteri (PM) jika enggan mematuhi perintah YdPA.

Tambah Anwar, kabinet Mahiaddin ‘tiada rasa malu’ walaupun Al-Sultan Abdullah berulang kali menyatakan Parlimen harus bersidang secepat mungkin.

Kerajaan Mahiaddin kini didakwa memiliki majoriti tipis di Dewan Rakyat, selepas mengambil alih kuasa daripada Kerajaan PH pada 1 Mac 2020.

Dengan kedudukan genting itu, tidak keterlaluan jika dikatakan Kerajaan PN bukan takut pada virus Corona/varian Delta, tetapi takut ‘tumbang’.

Menurut pemerhati, darurat diisytiharkan bagi mengelakkan undi tidak percaya dibuat terhadap Mahiaddin. Walau bagaimanapun, Kerajaan PN memaklumkan pengisytiharannya bagi mengekang penularan COVID-19.

Walaupun jelas gagal sama sekali, tetapi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengatakan jika tiada darurat, jumlah kes COVID-19 akan berpuluh ribu sehari!
Kelakar! Sekarang pun kes harian sudah belasan ribu, dan lima angka 10 hari berturut-turut! Paling tinggi setakat ini ialah 312,215 kes pada 15 Julai lalu.

Anwar dalam kenyataan yang dikongsi menerusi rakaman video pada 21 Julai lalu turut mengingatkan Mahiaddin agar tidak memperalat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, dan menyalah guna kuasa berhubung Sidang Khas Parlimen.

Presiden PKR itu juga menegaskan, pemendekan sidang Parlimen dilihat sebagai satu penipuan. Sidang Parlimen, tambah Anwar, biasanya untuk memastikan kerajaan ditadbir mengikut peraturan supaya tiada salah guna kuasa, termasuk mengenal pasti adanya proses semak, dan imbang.

Walau bagaimanapun, kata beliau, tiada petunjuk bahawa akan ada perbahasan terbuka meskipun Azhar pada 21 Julai lalu menasihati Majlis Presiden PH agar membaca Peraturan Mesyuarat, terutama Peraturan 11(3), dan kenal pasti dengan sebaik mungkin entiti yang menetapkan urusan majlis di sepanjang sidang khas tersebut. susulan kenyataan terbaharu mereka.

Azhar mengatakan beliau ‘bingung dan hairan’ dengan kenyataan PH yang menggesa perbahasan diadakan di sepanjang sidang berkenaan.

Azhar mendakwa PH tidak memahami, malah kabur dengan Peraturan Mesyuarat walaupun berpengalaman bertahun-tahun di Parlimen sebagai ahli mesyuarat, malah pernah menjadi kerajaan, selain dipimpin oleh barisan pengamal undang-undang.

Azhar turut menggesa pimpinan politik menghentikan tindakan yang disifatkan olehnya sebagai ‘politik kebencian melalui salah guna maklumat dan naratif palsu’ untuk mengadu domba antara beliau, pejabatnya dengan Istana Negara menerusi kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab yang hanya sekadar permainan politik tanpa sebarang hujah kukuh.

‘Politik kebencian’ dan ‘naratif palsu’ apa kerana yang jelas ialah pemimpin Kerajaan PN, termasuk Azhar sendiri tidak peduli pada maksud ‘segera’!

Anwar turut memberi amaran keras kepada kerajaan agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan kuasa tanpa berpandukan pada prinsip asas demokrasi berparlimen.

Tegas mantan Timbalan Perdana Menteri itu lagi, sidang Parlimen merupakan platform bagi menyuarakan aspirasi rakyat, selain menentukan keabsahan sesebuah pentadbiran kerajaan.

Anwar bersama-sama Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mempertikai kenyataan Azhar pada 15 Julai lalu yang menjelaskan sidang khas dari 26 hingga 2 Ogos tersebut hanyalah bagi membolehkan penjelasan menteri-menteri tanpa perbahasan ahli-ahli Parlimen.

Dalam satu kenyataan bersama pada 21 Julai lalu, PH menjelaskan tiada usul undi tidak percaya terhadap PM akan dibentangkan olehnya yang mahu tumpuan diberikan hanya kepada masalah rakyat ekoran krisis wabak pandemik, dan kemelesetan ekonomi.

Jadi, Mahiaddin, Azhar, Rashid, dan wakil rakyat PN tidak perlu takut bersidang. Pemimpin PH bukan ‘kaki kelentong’.

Majlis Presiden PH menggesa Azhar melakukan beberapa perubahan pada sesi Parlimen khas akan datang.
Tegas PH, keputusan Kerajaan PN mengenai perjalanan sidang khas itu tidak mencapai maksud penuh titah pandangan yang dizahirkan oleh YdPA, dan Raja-Raja Melayu.

Selain tiada perbahasan ke atas sebarang usul, PH menegaskan sidang Dewan Rakyat hanya setakat mendengar kuliah menteri, dengan kehadiran jumlah ahli Dewan Rakyat yang tidak lengkap, dan tanpa sebarang undian terutama berkait Proklamasi Darurat.

Jika Azhar tetap melaksanakan keputusan-keputusan kerajaan itu, ketika beliau menyedari ia tidak mencapai maksud sebenar Duli-Duli Tuanku, maka Yang Dipertua Dewan Rakyat telah turut sama mengingkari titah tersebut.

Sehubungan itu, PH menggesa Azhar tidak meletakkan had 80 orang, sebaliknya membenarkan semua ahli Parlimen hadir di Dewan Rakyat pada bila-bila masa mesyuarat berjalan.

PH turut menggesa Azhar agar membenarkan perbahasan penuh berasaskan usul menteri untuk semua isu yang telah dinyatakan dalam titah YdPA, termasuk PPN, Proklamasi Darurat, Ordinan-Ordinan Darurat, pelaksanaan program vaksinasi, langkah-langkah mencegah COVID-19, serta usaha memulihkan ekonomi, dan menjamin kelangsungan hidup rakyat.

Azhar juga perlu memutuskan sama ada beliau menjunjung penuh titah YdPA, dan Raja-Raja Melayu, atau sekadar mengikut arahan Kabinet.

Jika Yang Dipertua Dewan Rakyat berasa tidak mampu melaksanakan tiga perubahan ini, beliau diminta berundur.

RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.