Malaysia Dateline

Sidang Parlimen dibuka 6 September

Istiadat pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada 6 September ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memberitahu istiadat itu akan berlangsung pada jam 10 pagi di Bangunan Parlimen Malaysia.

“Mesyuarat pertama akan berlangsung selama 15 hari bermula 6 sehingga 30 September 2021.

“Mesyuarat Kedua pula berlangsung selama 32 hari bermula 25 Oktober sehingga 16 Disember 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong telah bertitah menyarankan Parlimen bersidang secepat mungkin supaya seluruh Ahli Parlimen dapat berbahas mengenai pandemik Covid-19.

Walaupun begitu, persidangan khas Dewan Rakyat lima hari bermula 26 Julai dilihat blok pembangkang sebagai hanya akan menjadi sesi prosedur bagi memenuhi permintaan Seri Paduka Baginda tanpa perbahasan yang sewajarnya.