Sidang Parlimen kecoh isu MP diugut tangkap

Oleh ARIF ATAN

Setengah jam pertama sidang Parlimen pagi ini kecoh apabila isu larangan terhadap Ahli Parlimen untuk masuk ke Bangunan Parlimen pada 2 Ogos lalu dibangkitkan.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangkit mencelah ketika giliran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kemudiannya menjelaskan Parlimen sebenarnya tidak ditutup pada hari tersebut.

Menurutnya, beliau tidak mengeluarkan arahan menghalang mana-mana Ahli Parlimen untuk masuk ke Parlimen pada hari itu dan perkara yang berlaku adalah di luar di luar bidang kuasanya.

Hamzah menerangkan Ahli Parlimen kerajaan juga tidak dibenarkan masuk ke Parlimen pada masa itu untuk mengelakkan tindakan berkumpul ketika pandemik.

“Saya lupa angkanya (positif Covid-19). Saya difahamkan angka ketika itu sudah mencecah 100 yang positif.

“Sebab itu kita tidak benarkan. Bukan sahaja pembangkang, Ahli-Ahli Parlimen kerajaan pun tidak dibenarkan masuk.

“Cuma Ahli-Ahli Parlimen kerajaan tidak buat demonstrasi,” kata Hamzah.

Kenyataan Ahli Parlimen Larut yang juga Setiausaha Agung Bersatu yang menyebut tentang “demonstrasi” itu dilihat mengundang lebih banyak rasa tidak puas hati wakil pembangkang.

“Bukan demonstrasi, kami nak jalan masuk ke Parlimen,” celah Datuk Mahfuz Omar (AMANAH-Pokok Sena).

Hamzah berkata kompaun yang dikeluarkan kerana perhimpunan yang diadakan wakil rakyat pembangkang itu tetapi kadarnya kemudiannya dikurangkan selepas mendapat persetujuan pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

“Tidak lagi RM3,000 tetapi sama seperti yang dibayar rakyat jelata,” katanya.

Sidang Parlimen yang buat julung kalinya dihadiri Datuk Seri Ismail Sabri (BN-Bera) sebagai Perdana Menteri itu berterusan kecoh susulan giliran Wong Kah Woh (DAP-Ipoh Timur).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mempersoalkan tindakan polis di sekatan jalan raya (SJR) menuju ke Bangunan Parlimen yang mengeluarkan ugutan terhadapnya.

“Pihak polis enggan mendengar, saya diberi masa dua minit untuk beredar dari kawasan itu, jika tidak, saya ditangkap.

“Itu semua telah dirakam dan tular dalam video,” katanya yang menegaskan ugutan itu dibuat walaupun beliau mempunyai surat panggilan mesyuarat pada hari tersebut.

Sehubungan itu, Wong menuntut supaya Menteri Dalam Negeri memberi penjelasan yang sewajarnya serta jaminan berhubung hak-hak sebagai Ahli Parlimen terutama ahli-ahli PAC dilindungi.

“Ahli-Ahli Parlimen lain juga dihalang masuk untuk menghadiri meyuarat PAC.

“Saya sendiri diugut untuk ditangkap jika tidak beredar dalam tempoh dua minit,” tegas Wong lagi.