Malaysia Dateline

Sidang Parlimen kekal bermula 6 September

Walupun terdapat 97 kes Covid-19 dikesan membabitkan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen hujung Julai lalu, tarikh mesyuarat itu kekal bermula pada 6 September depan.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata Dewan Rakyat tiada menerima pemakluman perubahan tarikh mesyuarat pertama penggal keempat, Parlimen ke-14.

“Setakat ini, tiada pemakluman mengenai apa-apa tarikh mesyuarat Parlimen selain dari yang diumumkan sebelum ini, iaitu Mesyuarat Penggal Keempat yang akan bermula pada 6 September 2021,” lapor BH.

Sebelum ini, Azhar memaklumkan, istiadat pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada 6 September ini.

Mesyuarat pertama dijadual berlangsung 15 hari bermula 6 sehingga 30 September depan manakala mesyuarat kedua selama 32 hari bermula 25 Oktober sehingga 16 Disember.

Sidang Dewan Rakyat kali ini menyaksikan penampilan kali pertama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Ismail Sabri menerima sokongan 114 Ahli Parlimen, sekali gus majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan manakala Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai 105 sokongan wakil rakyat.