Malaysia Dateline

Sidang Parlimen pagi ini tanpa dua MP, hanya dengar Titah Diraja

Persidangan Dewan Rakyat yang bakal berlangsung pagi ini menyaksikan dua Ahli Parlimen (MP) tidak hadir ekoran disahkan positif Covid-19.

Ini bermakna seramai 220 daripada 222 Ahli Parlimen dibolehkan menghadiri Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang hanya membabitkan Titah Diraja.

Kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) pada 14 Mei lalu menyifatkan sidang Parlimen hari ini sebagai majlis mesyuarat kali pertama tanpa sidang penuh dalam sejarah lebih 60 tahun Parlimen Malaysia.

Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH; Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam kenyataan bersama berkata Parlimen seharusnya berfungsi sebagai wahana bagi suara rakyat dan tiang seri demokrasi.

Seramai 950 orang terdiri daripada Ahli Parlimen, Senator, warga kerja Parlimen serta petugas media yang terlibat dengan sidang Parlimen hari ini juga telah menjalani ujian saringan Covid-19 secara berperingkat mulai 13 Mei lalu.

Semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat menjalankan proses nyahkuman di kawasan bangunan utama Parlimen. Selepas persidangan hari ini selesai juga proses tersebut dilapor akan dilakukan.

Ekoran risiko penularan wabak Covid-19, urusan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini turut dipinda dengan hanya bagi urusan Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah jam 10 pagi ini.

Sebelum itu, notis dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat pada 17 April lalu memberitahu sidang hari ini akan turut membincangkan rang undang-undang dan usul urusan kerajaan sahaja selain Titah Diraja.

Satu kenyataan dikeluarkan Dewan Rakyat kemudiannya memaklumkan Riduan digantikan dengan bekas Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Hal Ehwal Perlembagaan di Jabatan Perdana Menteri, Nizam Mydin Bacha Mydin sebagai Setiausaha Dewan Rakyat yang baharu berkuatkuasa 13 Mei lalu.

Ini bermakna, pengumuman penukaran Setiausaha Dewan Rakyat berlaku lima hari sebelum Parlimen mendengar Titah Diraja.

Untuk rekod, sidang Parlimen hari ini adalah kali pertama diadakan sejak ‘Langkah Sheraton’ yang menyaksikan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) digantikan Perikatan Nasional (PN).

Rata-rata Ahli Parlimen pembangkang mengkritik pindaan urusan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini yang menghadkan masa hanya bagi mendengar Titah Yang Di-Pertuan Agong tanpa sebarang perbahasan sebelum dijangka disambung semula pada Julai nanti.

Ramai mempersoalkan kemungkinan besar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu bimbang dengan usul undi tidak percaya terhadapnya yang dikemukakan oleh bekas perdana menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 4 Mei lalu.

Usul undi tidak percaya yang mengikut Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3) tersebut sebelum ini telah diterima Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof pada 8 Mei lalu.

Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) itu berbunyi: Mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai majoriti ahli-ahli yang berhormat Dewan Rakyat.

Mengikut takwim persidangan Dewan Rakyat, Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga selama 25 hari mulai 13 Julai hingga 27 Ogos depan bakal membabitkan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain serta pembentangan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

Sidang Parlimen paling singkat dalam sejarah ini juga menyaksikan hanya RTM dan Bernama
sahaja dibenarkan untuk membuat liputan.

Hal itu disebutkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan pada 8 Mei lalu.