Malaysia Dateline

Sidang Parlimen: PN bukan sahaja dilihat gagal tapi derhaka pada dekri YDPA

Dekri Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bahawa Parlimen perlu dipanggil bersidang segera hendaklah dilaksanakan segera oleh kerajaan PN sebagai badan eksekutif di bawah Ordinan Darurat (2021).

AJK AMANAH Nasional Faiz Fadzil berkata, dekri YDPA bahawa sidang Parlimen dipanggil ‘segera’ adalah jelas dan tidak mempunyai maksud berlainan (unambiguous).

Oleh itu, katanya menurut Peraturan 11 (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis Mesyuarat hendaklah memberikan notis penetapan tarikh sidang Parlimen dengan segera, tanpa berlengah lagi.

“Jika tidak, kerajaan PN bukan sahaja dilihat kerajaan gagal, tetapi derhaka kepada dekri YDPA,” katanya dalam kenyataan.

Adun Permatang Pasir yang juga pengamal undang-undang juga berkata, Ordinan Darurat mengatasi dan terpakai dan YDPA berkuasa mutlak memanggil sidang Parlimen tanpa terikat dengan nasihat PM berdasarkan peruntukan undang-undang iaitu;

“Perkara 150 (6) dan (6A) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa mana-mana peruntukan dalam Akta Parlimen yang diluluskan sebagai undang-undang darurat tidak dianggap batal walaupun bertentangan dengan Perlembagaan kecuali berkaitan perkara agama, adat istiadat Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak, kewarganegaraan atau bahasa.

“Mahkamah Persekutuan dalam kes Eng Keok Cheng v Public Prosecutor memutuskan bahawa Akta Darurat (1964) adalah sah dan mengatasi Perlembagaan. Di dalam kes ini, tertuduh telah didapati bersalah memiliki senjata api dan dihukum gantung mengikut Akta Darurat (1964).

“Hujah bahawa Akta Darurat ini tidak sah kerana bertentangan dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan tidak diterima panel hakim Mahkamah Persekutuan di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa semasa darurat, apa sahaja undang-undang boleh dibuat walaupun bertentangan dengan Perlembagaan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian berikutan timbul satu persoalan undang-undang penting sama ada dalam tempoh darurat, YDPA terikat dengan nasihat PM termasuk persidangan Parlimen memandangkan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agong bertindak atas nasihat PM. Maka, adakah dekri YDPA ini terikat dengan nasihat PM?

“Adalah perlu untuk merujuk kepada peruntukan seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 secara ‘in verbatim’ menyatakan:-
“Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong”.

“Peruntukan ini sangat jelas dan tiada kekaburan (unambiguous) bahawa kuasa mutlak terletak kepada YDPA untuk memanggil sidang Parlimen. Maka, dekri YDPA ini adalah sah,” kata beliau.