Malaysia Dateline

Lim Kit Siang

Sidang Parlimen sehari: Takiyuddin salah faham atau putar belit nasihat KKM?

Penasihat DAP, Lim Kit SIang mempersoalkan sama ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan salah faham ataupun memutarbelitkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung persidangan Parlimen sehari.

Kata beliau, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada 27 April lalu, KKM tidak pernah menasihatkan supaya persidangan Parlimen diadakan selama sehari.

Ia seolah-olah menghina sistem demokrasi berparlimen dan melumpuhkan fungsi Parlimen dalam meneliti serta menyemak imbang tindakan kerajaan dalam mengendalikan wabak Covid-19 di negara kita, katanya.

“Jelas sekali Menteri yang bertanggungjawab dengan Hal Ehwal Parlimen, Datuk Takiyuddin Hassan telah salah faham ataupun memutarbelitkan nasihat yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan berikutan situasi Covid-19.

“Sekali lagi kenyataan saya terbukti benar apabila berasa skeptikal bahawa kononnya cadangan persidangan Parlimen selama sehari pada 18 Mei ini datang daripada Kementerian Kesihatan.” tulis beliau dalam blognya semalam.

Jelas Kit Siang, menjelang 17 April, ketika Setiausaha Dewan Rakyat menyampaikan notis kepada semua Ahli Parlimen mengenai persidangan sehari ini, sudah tentu KKM dan pakar-pakar lain sudah boleh menjangkakan yang negara kita telahpun melepasi kemuncak gelombang kedua wabak Covid-19.

Hal ini kata beliau, kemudiannya telah disahkan oleh angka-angka jangkitan pada hari-hari yang seterusnya.

“Dengan melihat kadar jangkitan harian, jelas dapat dilihat bahawa PKP yang dilaksanakan pada 18 Mac berkesan dan berjaya memutuskan rantaian jangkitan wabak ini.

“Tidak ada pakar di Kementerian Kesihatan yang berkelayakan akan memberitahu Takiyuddin bahawa lengkungan jangkitan Covid-19 di negara kita sedang berada di dalam trajektori ke atas sebagai alasan untuk mengadakan persidangan Parlimen selama sehari pada 18 Mei kerana trajektori ini sedang menghala ke bawah,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Katanya lagi, beliau tidak percaya Ketua Pengarah Kesihatan ataupun para pakar di KKM telah mengelirukan Takiyuddin.

Takiyuddin sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan persidangan sehari ini berasaskan nasihat daripada pihak KKM dan pakar-pakar berkaitan untuk kebaikan dan keselamatan semua pihak.

“Pembacaan yang tepat mengenai situasi Covid-19 pada pertengahan April adalah pada fasa keempat PKP, yang dilaksanakan daripada 29 April sehingga 12 Mei, yang boleh memastikan wabak ini berada di bawah kawalan, yang tidak memberikan sebarang alasan untuk persidangan parlimen sehari 18 Mei.

“Parlimen haruslah bersidang untuk sekurang-kurangnya 10 hari untuk meneliti dan menyemak imbang pengendalian wabak Covid-19 oleh pihak kerajaan,” katanya.