Malaysia Dateline

Sidang Parlimen: Sekali lagi Takiyuddin tolak titah Agong

Selepas didakwa mempermainkan Titah Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar Parlimen bersidang segera, Menteri Undang-undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan didakwa sekali lagi menolak titah Agong apabila berkata Parlimen hanya akan bersidang selepas darurat tamat.

Ini kerana, Yang di-Pertuan Agong pada 24 Februari lalu, dengan jelas menitahkan bahawa Parlimen boleh bersidang ketika Darurat berjalan.

Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam kenyataan Istana Negara menyebut bahawa perkara berkenaan termaktub dalam sub perenggan 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Baru-baru ini, sekali lagi Yang di-Pertuan Agong dan juga Majlis Raja-raja menitahkan agar Parlimen perlu bersidang segera.

Namun, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Yang di-Pertuan Agong tidak memberikan tarikh yang dikatakan segera itu.

Oleh itu, katanya, kerajaan akan mengikut apa yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri, Parlimen akan bersidang secepatnya September ini.

Semalam, di kawasan Parlimen beliau iaitu Kota Bharu, sekali lagi Takiyuddin didesak oleh wartawan bila Parlimen akan bersidang, namun beliau menjawab, kerajaan tetap menegaskan persidangan Parlimen hanya akan bermula selepas tempoh darurat tamat.

“Insya-ALLAH, Parlimen akan bersidang selepas darurat tamat, tidak kira bulan berapa, bila-bila tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang Di-Pertuan Agong. Cuma Yang di-Pertuan Agong bertindak menjalankan fungsinya berdasarkan kepada nasihat, pandangan yang diberikan jemaah menteri, berdasarkan fakta dan sains,” kata beliau.