Malaysia Dateline

Sidang penuh Parlimen penting perangi ancaman Covid-19

Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 sepatutnya perlu diadakan secara persidangan penuh bagi membincangkan usaha memerangi Covid-19 dengan cara paling berkesan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, keputusan untuk hanya mendengar Titah Diraja di Dewan Rakyat esok amat mengecewakan memandangkan persidangan itu harus membahaskan pelbagai perkara berkaitan Covid-19.

“Inilah masanya dalam suasana Covid-19 perlu diadakan perbincangan, perbahasan dan penjelasan apa yang sedang dan perlu dilakukan termasuk persoalan untuk meluluskan belanjawan tambahan.

“Perbincangan juga perlu tentang apa kaedah-kaedah yang perlu dibahas dan dikaji bersama termasuklah soal perundangan yang perlu diluluskan,” katanya dalam Ceramah Harapan atas talian bertajuk “Kembalikan Mandat Rakyat – Undi Tak Percaya” malam tadi.

Turut serta dalam ceramah yang dimoderatorkan Fahmi Fadzil itu adalah Liew Chin Tong, Datuk VK Liew, Dr Xavier Jayakumar.

Mengulas lanjut, Khalid menegaskan persoalan mengadakan sidang Parlimen sebenarnya lebih penting dalam keadaan negara mendepani Covid-19 bukannya kerana pandemik berbahaya itu maka tidak perlu diadakan sidang Dewan Rakyat.

“Sidang setengah atau suku hari sekadar untuk dengar Titah Diraja. Ini merupakan perkara yang amat mengecewakan.

“Sepatutnya, ada ancaman Covid-10 ini maka kita perlu adakan sidang Parlimen supaya semua yang mewakili rakyat di peringkat akar umbi boleh diberikan maklumat,” ujarnya.

Sehubungan itu, Pengarah Komunikasi AMANAH tersebut menyifatkan keengganan mengadakan persidangan penuh adalah akibat daripada sikap ‘kerajaan pintu belakang’ yang tidak peduli kepentingan rakyat.

“Malangnya, tidak perlu berbincang, biar ‘aku buat ikut suka aku’. Itulah implikasi kerajaan pintu belakang yang tidak kisah apa kehendak dan pandangan rakyat,” bidasnya lagi.