Malaysia Dateline

Sifat ihsan buktikan rakyat tidak silap pilih AMANAH, PH

Integriti yang menunjangi AMANAH hanya boleh diterjemah dengan sifat ihsan yang dihuraikan jelas oleh Ar-Rasul dalam Hadith Jibril, kata Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Beliau berkata, setiap perlakuan sama ada ketika ramai mahupun berseorangan sentiasa diperhatikan oleh Khaliq sehinggakan tiada detik yang terlepas daripada perhitungan.

“Ada masa untuk kita songlap duit? Takkan ada sebab kita meyakini walaupun berada dalam gua yang orang lain tidak nampak sekali pun, kita yakin Allah nampak.

“Kita tidak sesekali berlaku curang terhadap perintah Allah SWT. Nilai inilah yang mesti diterapkan kepada Pemuda AMANAH, tambahan pula hari ini kita memegang amanah yang besar. Kita sedang memerintah negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Ketiga Pemuda AMANAH Kawasan Sri Gading di Johor baru-baru ini.

Shazni berkata, AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) pada masa ini diuji untuk memerintah negara dengan tidak mengulangi sifat kepimpinan terdahulu yang bobrok dan jelas telah ditolak oleh rakyat.

“Kalau kita gagal dalam memerintah bukan sahaja kita ditanya oleh rakyat bahkan di Padang Mahsyar nanti mengapa gagal ketika diberi peluang mentadbir negara.

“Sebab itu saya turut mengingatkan diri saya sendiri, amanah ini satu ujian terbesar untuk diri kita sama ada mampu untuk jadi individu yang meletakkan Allah dan Rasul di atas segala-galanya dengan melaksanakan amanah secara jujur.

“Allah melihat kita. Rakyat pula menilai pencapaian kita. Kita jangan sia-siakan amanah sepanjang satu penggal ini.

“Kita harus buktikan khususnya kepada rakyat Malaysia bahawa mereka tidak silap perhitungan dan boleh menggalas amanah ini terbaik dan lebih baik daripada mereka sebelum kita,” ujarnya.

Mengulas lanjut tentang ihsan, beliau mengingatkan kepada seluruh kepimpinan Pemuda AMANAH agar meletakkan sikap terpuji itu dalam diri.

“Kita tidak mampu untuk jaga semua orang tapi kita boleh jaga sekurang-kurangnya diri kita. Sentiasa ingatkan diri kita. Kita sedang diamanahkan untuk mengurus duit dan harta yang bukan milik kita.

“Saya menyeru seluruh saf kepimpinan Pemuda di setiap negeri dan kawasan, untuk menjadi orang-orang yang muhsin,” katanya.

Perantara

Shazni yang juga Pengarah Mobilisasi Pemuda PH berkata, pemimpin dan anggota AMANAH perlu sentiasa menilai sifat ihsan dalam diri masing-masing.

“Kita hanya perantara yang bertanggungjawab mengurus duit pembayar cukai dan hasil kerajaan untuk menyalurkan kepada golongan yang berhak.

“Itu sebabnya kita perlu sentiasa rasa semasa tulis cek itu, Allah melihat kita. Begitu juga, waktu kita uruskan dana kepada anak yatim, contohnya.

“Allah sentiasa melihat kita sewaktu kita menguruskan harta rakyat. Buktikan kita adalah terbaik dalam kalangan terbaik yang telah dipilih oleh rakyat untuk menjadi pemimpin terbaik kepada mereka.

“Kita harus buktikan pilihan mereka terhadap kita sebagai ahli majlis, ketua kampung tidak silap dan paling tepat,” tegas Ketua Pegawai Eksekutif Melaka International Bowling Centre (MIBC) itu.

Oleh sebab itu, Shazni yakin generasi masa depan AMANAH akan benar-benar menjadi parti dalam PH yang menjunjung tinggi nilai integriti yang boleh dijadikan contoh kepada rakyat apabila mampu meletakkan nilai ihsan dalam diri.