Signal rakyat dibawah perlu didengari dan difahami, kata Mazlan

Signal rakyat dibawah perlu didengari dan difahami, kata Mazlan

Dasar perjuangan yang gagal untuk memahami signal politik, maka selamanya akan berada pada takok lama.

Oleh kerana itu mana-mana parti politik tidak harus bersendirian dan perlu berada dalam gabungan untuk memastikan perjuangan dapat diteruskan.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Majlis Pimpinan Nasional AMANAH, Datuk Mazlan Aliman ketika menyampaikan ucapan beliau pada majlis Konvensyen AMANAH Negeri Perlis semalam.

Jelasnya lagi, AMANAH juga tidak bersendirian dan berada dalam gabungan bersama-sama Pakatan Harapan (PH).

“Muakafat dalam PH mesti ditingkatkan.

“Begitu juga apabila adanya perbezaan pandangan, maka kewujudan perdebatan adalah suatu yang lumrah.

“Sehubungan itu peranan yang harus dimainkan oleh pimpinan adalah bagi menyatukan perbezaan yang ada, ” tegasnya lagi.

Mazlan Aliman (kanan) ketika hadir pada majlis Konvensyen AMANAH Perlis.

Malah katanya, sekiranya sebagai pemimpin tidak dapat mendamaikan kecelaruan yang berlaku, tidak dapat disangkal apabila akan sampai kepada suatu tahap rakyat akan menolak kepimpinan tersebut.

“Kita harus menjadikan pemerintahan BN sebagai satu iktibar apabila mereka ditolak walaupun telah memerintah lebih 60 tahun.

“Yang jelas, signal rakyat dibawah perlu didengari dan harus memahami suasana yang dirasai oleh mereka.

“Sejarah turut memperlihatkan apabila BN menguasai institusi rakyat, dari segi politik mereka amat berkuasa khususnya di kawasan luar bandar, ”

Justeru itu katanya, apabila menjadi kerajaan maka segala persoalan masyarakat bawahan termasuklah para peneroka harus diberi perhatian yang sewajarnya.

“Sebagai kerajaan kita juga harus berfiikir mengenai harga kelapa sawit yang jatuh serta bayaran lewat yang diterima oleh peneroka.

“Mesti turun padang bukan sahaja untuk berjumpa dengan pemimpin sebaliknya juga masyarakat, pesawah padi maupun petani.

“Sekiranya kerajaan PH memberi fokus terhadap isu yang dihadapi oleh rakyat, yakinlah lama-kelamaan isu yang sukar mudah untuk diatasi, ” saran beliau lagi.

Yang penting katanya, memperkukuhkan PH mesti dilakukan semaksima mungkin bagi memastikan rakyat merasa selesa berada dibawah pemerintahan kerajaan PH.