Malaysia Dateline

Sikap anti jawi Dong Zhong bertentangan dengan polisi kerajaan

Pemuda AMANAH Terengganu mengecam tindakan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) yang secara gabungannya dikenali Dong Jiao Zong yang akan menganjurkan persidangan bagi membantah pelajaran pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular pada 28 Disember ini.

Biro Pendidikan Pemuda AMANAH Terengganu, Mohd Firdaus Mohammad Nor berkata, tindakan ini adalah sesuatu yang amat keterlaluan dan langsung tidak menggambarkan semangat toleransi dan perpaduan masyarakat.

Katanya, mempelajari tulisan Jawi tidak menjadikan seseorang itu kehilangan identiti bangsa, namun sebaliknya sebagai usaha untuk mengenali warisan dan identiti negara Malaysia.

“Meskipun Kementerian Pendidikan sudah mengurangkan pengenalan tulisan jawi hanya kepada tiga muka surat sahaja, namun sikap prejudis dan perkauman agama yang dibangkitkan oleh persatuan tersebut, amat dukacita dan dikesali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemimpin DAP, Sdr Lim Guan Eng menyebut pengenalan tulisan jawi adalah untuk rakyat kenal asal usul bahasa melayu.

Pengenalan tulisan Jawi yang terkandung dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) itu bukanlah membawa maksud untuk menyebar fahaman Islamisasi malah lebih ke arah memahami serta mempelajari ilmu bahasa dan tulisan.

Perlu juga difahami bahawa, perancangan tulisan Jawi dan Khat ini telah dilaksanakan melalui semakan semula Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) sejak 2014 lagi yang melibatkan semua sekolah, termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Tambahan pula, tulisan Jawi juga telah wujud dalam buku teks Bahasa Melayu untuk SJK Tahun Lima sejak 2015.

Justeru katanya, Dong Zhong seharusnya perlu mencari titik perdamaian dan bersikap memahami budaya masyarakat majmuk Malaysia yang berbilang kaum dan bukannya mengheret sama institusi pendidikan ke medan kontroversi.

Pemuda AMANAH Terengganu turut menyeru agar Kementerian Pendidikan, melalui Menterinya, Dr. Maszle Malik untuk turut bertegas dalam mengekalkan keputusan pembelajaran Jawi dan seni Khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu agar dapat meningkatkan kefahaman semua murid mengenai seni, warisan dan sejarah Bahasa Melayu.

Sebelum itu, Dong Jiao Zong akan mengadakan persidangan pertubuhan Cina pada 28 Disember untuk membantah pelajaran pengenalan kepada tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Selain mengajak semua pertubuhan Cina menghadiri persidangan itu, Dong Jiao Zong turut meminta lembaga pengelola dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) untuk memulangkan garis panduan pelajaran tulisan Jawi kepada Kementerian Pendidikan sebagai tanda bantahan.