Malaysia Dateline

Sikap degil PM bertentangan dengan perlembagaan, PKR tuntut Mahiaddin letak jawatan

Bagi mengakhiri segala kemelut dan kekalutan yang di cetuskan kerajaan Perikatan Nasional (PN), PKR menuntut agar Tan Sri Mahiaddin Md Yasin meletakkan jawatan selaras dengan prinsip perlembagaan yang dijunjung oleh setiap rakyat negara ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menegaskan, penentangan secara terbuka oleh Mahiaddin dan Kabinetnya terhadap Raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong pada ketika ini dilihat sebagai satu krisis antara pihak kerajaan dan istana yang paling parah semenjak isu Perlembagaan Raja-raja Melayu pada 1993

Beliau juga membidas Mahiaddin sebagai degil kerana masih mahu mengekalkan kedudukan di tampuk pemerintahan walaupun telah jelas beliau kini telah hilang sokongan majoriti di Parlimen.

“Sikap angkuh, degil dan biadap beliau ini sangat jelas telah bertentangan dan melanggar prinsip perlembagaan.

“Masyarakat merasa hairan dan mual kerana pembenturan dengan institusi Diraja ini berlaku dari kerajaan PN yang tertubuhnya dahulu kononnya atas semangat ‘kerajaan Melayu Islam untuk menjaga hak-hak orang Melayu serta kedaulatan Raja-raja Melayu’.

“Namun, kerajaan hari ini langsung tidak menghiraukan kekhuatiran dan kesengsaraan rakyat ketika ini kerana terlalu asyik berpolitik dan bermesyuarat siang dan malam untuk mengekal kuasa dan pemerintahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berpendirian bahawa Malaysia perlu diselamatkan dan sewajarnya semangat perlembagaan dikembalikan dan pena’kulan terhadap makna Rukun Negara iaitu “Kesetiaan kepada Raja dan Negara” dijajarkan semula dengan segera.