Sikap ‘kluk klek’ Pas tiada tempat dalam PH

Sikap ‘kluk klek’ Pas tiada tempat dalam PH

Pendirian rasmi Pakatan Harapan (PH) yang tidak akan bekerjasama dengan Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan memudahkan lagi perancangan gerak kerja bersama antara keempat-empat parti sama ada di peringkat nasional mahupun negeri.

Menyambut baik keputusan PH selepas mesyuarat Majlis Presiden malam tadi, Ketua Pemuda AMANAH Nasional Mohd Sany Hamzan berkata, pendirian tegas itu amat dinanti-nanti.

“Rakyat sangat memberi harapan yang menggunung kepada Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP, AMANAH dan Bersatu untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada kerajaan kleptokrasi yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak.

“Oleh yang demikian rakyat mahukan satu gabungan yang ampuh bagi menghadapi PRU14 yang akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mesyuarat Majlis Presiden malam tadi mengeluarkan kenyataan menolak sebarang kerjasama dengan Pas sebaliknya bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru dalam PRU14.

Kenyataan itu turut ditandatangani Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

{loadposition myposition}

Ia timbul apabila Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali minggu lalu mengumumkan sedang ada usaha berbincang dengan Pas secara tidak rasmi, sebagai persediaan PKR menghadapi PRU14.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor bagaimanapun menjelaskan, perbincangan dengan Pas itu tiada kaitan dengan PH sebaliknya atas inisiatif PKR sepenuhnya.

Mengulas lanjut, Sany berkata, PH sebelum ini membuka peluang dan ruang untuk mana-mana parti yang mahu bersama dalam gabungan besar pembangkang bagi menghadapi BN, namun Pas bersikap angkuh dan sombong apabila enggan untuk bersama dalam satu pasukan sebaliknya menubuhkan blok ketiga iaitu Gagasan Sejahtera bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

“Sikap “kluk klek” dan angkuh Pas ini tidak ada tempat di dalam gabungan pembangkang yang mengamalkan prinsip bekerjasama antara satu sama lain demi mencapai matlamat utama iaitu menjatuhkan kerajaan yang penuh kebobrokan ketika ini,” katanya.

Justeru, katanya, Pemuda AMANAH yakin rakyat akan memberi sokongan kepada PH yang lebih realistik dan berkemampuan untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

“Kita membawa harapan besar rakyat, mari kita bersama menggalas harapan ini,” katanya.

CATEGORIES
TAGS