Makin hari makin jelas pada rakyat bahawa tragedi putus bekalan air untuk Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang menglibatkan 150,000 orang penduduk boleh dielak dengan sikap lebih prihatin dan cekap Kerajaan Negeri.
Bekalan air putus bukan terjadi sekali, tetapi sudah dua kali dalam bulan Ogos 2021 ini sahaja.
Amaran awal tragedi sedemikian telah ada, sekiranya pihak kerajaan bersikap prihatin dan ambil berat, telah diketahui seawal pada bulan 11 Oktober 2020 lagi melalui aduan bertulis penduduk tempatan.
Surat maklum balas dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu telah juga dikeluarkan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Terengganu.
Salinan surat penyelidikkan terbabit serta penemuan JPS kepada UPEN tersebut kini tersebar luas namun amat malang kerana pihak kerajaan negeri tetap berkeras dan tidak mengambil perhatian dan tindakan sepatutnya atas isu kritikal yang membebankan ramai rakyat Terengganu.
Surat aduan kepada JPS telah menyoal kenapa pengambilan pasir di sungai kawasan berkenaan dilakukan dengan cara begitu “agresif” dan bukan secara sepatutnya mengikut peraturan oleh pihak tertentu.
Apabila JPS akui hakisan berlaku sejak tahun lepas lagi di Pulau Warisan yang berdekatan dengan lokasi kedua-dua insiden putus bekalan air baru baru ini, sudah tentu wujud kemungkinan besar ada kaitan di antara dua masalah tersebut. Kenapa tiada tindakan atau siasatan bersegera di jalankan?
Ini mungkin boleh mengelakkan terputusnya bekalan air yang kini telah pun berlaku buat kali kedua.
Jika Pulau Sekati yang menjadi contoh ” Kampung Warisan” tradisi Melayu terancam, kemungkinan besar juga tapak 60 ekar Kompleks Muzium Terengganu di Losong, yang merupakan muzium terbesar di Asia Tenggara, akan terjejas juga.
Tidakkah Kerajaan Negeri Terengganu memandang berat ancaman ke atas Kampung Warisan Tradisi di Pulau Sekati dan Muzium Terengganu yang merupakan aset utama daya tarikan pelancongan Negeri atau adakah kepentingan pihak lain lebih diutamakan?
Beberapa nama individu serta syarikat menyedut pasir telah dilaporkan.
Dilaporkan mereka mengguna bilangan pam pasir yang lebih dari dibenarkan serta cara yang tidak mengikut peraturan garis panduan ditetapkan, sekaligus terjadinya tregedi yang memberi kesan kepada bekalan air orang tempatan yang kini menderita lagi akibat masalah putus bekalan air yang berulang.
Kenapa tiada tindakan diambil dan kenapa apabila ditanya oleh pihak media maklumat-maklumat penting dirahsiakan oleh kerajaan?
Malahan ada pula yang berhormat ADUN membuat ugutan untuk menyaman mereka yang menyoal ada hubungan wakil rakyat dengan individu terlibat aktiviti mengambil pasir tersebut.
Apabila pasir sungai diambil secara agresif tidak mengikut peraturan, dasar sungai akan terganggu menyebabkan sokongan struktur paip air terhakis dan menyebabkan putus bekalan air serta berlaku juga hakisan ditebing sungai termasuk di Pulau Sekati dan mungkin juga tapak muzium negeri serta kampung berdekatan.
Ramai anak Terengganu yang menjadi kontraktor paip minyak laut terbuka kepada Petronas, yang pakar dalam isu memasang paip di dalam air, hairan bagaimana masalah ini boleh wujud dan berulang jika peraturan dan pemantauan yang betul diikuti.
Sudah pasti banyak yang tidak kena yang perlu disiasat. Kalau tidak masalah sama akan terus berulang.
Kalau kerajaan menjalankan siasatan telus secara terbuka, mungkin tidak timbul situasi tersebut. Apakah yang sebenarnya ingin dilindungi oleh pihak kerajaan dan wakil rakyat berkenaan?
Masalahnya kerajaan negeri tidak serius menangani isu ini dan rakyat pasti mahu tahu kepentingan siapa yang ingin kerajaan beri keutamaan?
Mengapa berahsia dalam ketelusan maklumat berkaitan masalah ini dan lambat bertindak?
Sikap tidak prihatin dan enggan bertindak ke atas pihak tidak bertanggungjawab dalam kes serius ini menunjukkan kegagalan Kerajaan Terengganu membela nasib rakyat yang susah.
Isu banjir besar dan hakisan seperti yang berlaku di Kedah baru baru ini dan seluruh dunia adalah fenomena serius yang mesti di tangani segera.
Sikap leka dan tidak prihatin kerajaan Terengganu adalah sikap tidak bertanggungjawab yang mengundang lagi banyak masalah besar akan datang berkait dengan sungai dan bekalan air.
Menteri Alam Sekitar dahulu dan juga sekarang adalah YB Timbalan Presiden PAS yang mudah di rujuk oleh Kerajaan PAS Terengganu.
Rakyat yang sedang bertungkus lumus mengatasi masalah COVID 19, pelajaran tertangguh, pendapatan serta ekonomi yang bermasalah sekarang terpaksa menghabiskan beberapa jam sehari mengangkut bekalan air yang merupakan keperluan asas penting.
Rakyat berhak menuntut serta mendesak untuk mengetahui situasi sebenarnya dan menolak sikap leka kerajaan berahsia yang merugikan serta amat menyusahkan orang ramai dan ini hanya menguntung pihak tertentu sahaja.
Penulis merupakan Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu