Sikap Pas tidak bersama gabungan pembangkang pelik, kata Bersatu

Sikap Pas tidak bersama gabungan pembangkang pelik, kata Bersatu

Sikap Pas yang membuat keputusan tidak mahu bersama gabungan parti pembangkang dan mesra Umno diangap pelik dan berlawanan dengan prinsip asal parti itu.

Ketua bahagian Jeli, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Dr Aminuddin Yaakob berkata sejak dahulu parti itu begitu bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan kerajaan BN.

“Namun sekarang, mereka tidak mahu bersama ketika hampir semua parti-parti pembangkang kini bergabung,” kata bekas orang kanan Datuk Mustapha Mohamad, Pengerusi Umno Kelantan itu.

Tindakan Pas ini katanya akan dilihat oleh rakyat seperti mereka akan bersama pihak sana (BN).

“Sejak dahulu ketika kita masih bersama Umno, parti ini sentiasa berusaha menentang.

“Kini kita sendiri pun sudah tidak tahan dengan Umno yang semakin teruk, tiba-tiba pihak mereka pula yang mengambil pendirian berbeza,” katanya yang sebelum ini tinggal di Kuala Lumpur tetapi pulang ke Jeli untuk membantu Mustapha.

Beliau mengakui PPBM memang amat berharap untuk mengajak Pas bersama-sama bergabung menentang BN.

“Kita memang berharap dan telah banyak berusaha supaya gabungan ini disertai semua termasuk Pas.

“Harapan kita bagaimanapun seperti disia-siakan begitu saja,” katanya yang sangat rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, pengerusi Bersatu.

Dr Aminuddin berucap di majlis ceramah umum keluar Umno masuk Bersatu di kampung Bendang Besar Jeli malam tadi.

Turut berucap ialah ketua Armada Bersatu Kelantan Asran Alias, timbalan pengerusi Bersatu Kelantan Datuk Sazmi Miah dan naib presiden Amanah Datuk Husam Musa.

COMMENTS

Wordpress (0)