Malaysia Dateline

Sikap Pas tolak teguran Sultan, Mufti dipersoal, kata Raja Bahrin

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, apakah sikap sebenar Pas yang bertekad mahu terus mengadakan himpunan pada 8 Disember nanti.

Beliau mempersoalkan, adakah himpunan bantah ICERD, yang kerajaan telah sahkan tidak akan dilaksanakan, benar-benar untuk mendaulatkan dan menjaga Raja dan Agama?

“Kalau jawapannya ya, kenapa pandangan Timbalan Yang di Pertuan Agong, Raja Nazrin dan Mufti Kelantan, Datuk Mohammad Shukri, tanpa hormat ditolak begitu sahaja?

“Apakah agenda di sebalik perancangan pakatan halus ini yang boleh mengugat keamanan negara tidak sampai tujuh bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah? Apa motifnya yang sebenar?

“ICERD ditolak kononnya untuk memelihara kedaulatan Raja Raja dan memelihara kedudukan Agama Islam,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini kata beliau, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar menyatakan ICERD ditentang kerana kononnya hendak menghormati Sultan dan Raja-Raja Melayu?

Ujar Raja Bahrin, tindakan menolak pandangan titah Raja Nazrin Shah dan saranan Mufti Kelantan oleh Pas dan Umno menunjukkan tindakan sebaliknya.

Beliau mempersoalkan adakah sikap tidak mengendahkan teguran itu sebagai sembah derhaka titah Timbalan Yang di Pertuan Agong dan sengaja engkar nasihat Mufti dilantik Sultan.

“Adakah perhimpunan bantah ICERD, yang berisiko keselamatan tinggi, benar benar untuk menghormati dan memelihara instituisi Raja Raja dan Instituisi Agama serta Muftinya?

“Atau adakah ianya untuk kepentingan dan survival bersama politik Pas dan Umno?” kata Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu itu.