Sikap pemerintahan purbakala kerajaan Malaysia

Sikap pemerintahan purbakala kerajaan Malaysia

Telah berlaku di beberapa Negara ketiga Dunia ,seperti di Afrika, di mana pemimpin yang dipilih rakyat membolot beratus juta duit rakyat untuk kepentingan peribadi.

Mungkin tidak menghairankan sangat kerana kebanyakan rakyat mereka tidak mempunyai pendidikan baik dan sangat miskin.

Tetapi di Malaysia yang penduduknya ramai tepelajar dan ramai hidup sederhana, bagaimana skandal sebesar 1MDB boleh berlaku ?

Di Negara lain juga pemimpin yang berkuasa dan bermaharajalela dan merompak wang rakyat adalah pemimpin utama yang memegang jawatan politik.

Tetapi di Malaysia yang menyamun wang Negara bukan hanya pemimpin, tetapi anak pemimpin serta sahabat kenalan anak yang diberi kuasa begitu luas dan berpengaruh!

Ini seolah-olah Malaysia kita masih berada di zaman kuno dahulu kala di mana kuasa mengatasi segala-galanya dan tangungjawab -“accountabilty” dan amanah-“trust” pemimpin tidak wujud seperti dalam nilai-nilai Kerajaan kuno ala zaman purba dahulu kala!

Kenapa dan bagaimana ini boleh berlaku di Malaysia yang kononnya menjadi Negara demokrasi Islam contoh!

Di mana para ulamak dan mufti negara yang berjubah panjang?.

Adakah mereka hanya menjadi penyeri majlis rasmi dan penghias pandangan untuk penonton tv sahaja ?

Memberi anak dan sahabat sahabat anak pemimpin kuasa belanja harta rakyat dan negara dengan mudah adalah seperti seorang ayah yang memberi senjata yang merbahaya yang diketahui akan menyebabkan akibat yang parah akhirnya kepada orang awam.

Sangat tidak bertangung jawab.

Menteri Penyokong Kerajaan menyatakan Dato Najib tidak dinamakan oleh kerajaan Amerika dan “Malaysian Officer 1” identitinya masih tidak di kenali!

Kami rakyat Malaysia bukan sebodoh seperti rakyat dunia ketiga tadi yang dalam kegelapan ilmu dan maklumat.

Siapa yang paling berkuasa kalau tidak Perdana Menteri yang layak bergelar ” Malaysian Official 1″ dan siapa pula juga Menteri Kewangan yang berkuasa kalau tidak Dato’ Najib?

Nama Riza Aziz dan Jho Low disebut dengan jelas oleh laporan Kerajaan Amerika.

Adakah kerana Riza Aziz adalah anak tiri kepada Perdana Menteri dan Jho Low adalah sahabat Universiti beliau, “Malaysian Official 1” boleh memberi kuasa begitu luas kepada mereka?

Ini seolah-olah dari cerita dongeng pemerintah kuasa mutlak zaman purba dahulu kala walaupun kita berada di tahun 2016!

Riza Aziz dan Jho Low telah mengumpul begitu banyak harta dari dana 1 MDB. Di manakah pembela “orang Melayu” yang pernah berdemonstrasi kerana mendakwa hak dan harta Melayu telah di tipu dan dikhianati?

Bukan hanya para Ulamak tidak bersuara seperti sepatutnya, pejuang hulubalang “hak Melayu” pun membisu seribu bahasa.

Pada zaman dahulu kala memanda-memanda Menteri menjadi penasihat kepada Raja Raja Melayu. Hari ini Raja-Raja Melayu yang telah menasihati Perdana Menteri sejak tahun 2015 lagi untuk menyelesaikan masalah 1 MDB tetapi tidak di ambil perhatian langsung.

Malahan pada awal 2016 kuasa DYMM Yang Di-Pertuan Agong untuk mengistihar darurat pula telah di ambil alih oleh Perdana Menteri !

Rakyat sangat-sangat mengharapkan Raja-Raja Melayu boleh mendesak Kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja untuk isu 1MDB.

Sebelum itu Majlis Raja-Raja diminta mengarah kerajaan membenarkan laporan Ketua Audit Negara tentang 1MDB di luluskan untuk dibaca oleh rakyat.

Kalau laporan Kerajaan Amerika dikatakan tidak benar, laporan Ketua Audit Negara Malaysialah yang boleh memberi rakyat peluang untuk membuat penilaian mereka sendiri.

Kuasa pemutus hendaklah di beri kepada Rakyat!

Raja Bahrin Shah adalah Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

COMMENTS

Wordpress (0)