Sikap pengecut kerajaan Kelantan semakin ketara, kata Husam

Sikap pengecut kerajaan Kelantan semakin ketara, kata Husam

Wakil tunggal Amanah di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan Datuk Husam Musa yang tidak diberi peluang berucap sebelum tamat persidangan semalam menganggap kerajaan Kelantan bersikap pengecut.

“Apa yang ditakutkan, jika tiada kelemahan ketara cuba disembunyikan,” soal beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya ini satu yang mendukacitakan kerana menurut amalan biasa Dun, sebelum sesi perbahasan ditutup, Speaker akan memberitahu Dewan atau bertanya bilangan Adun yang masih ingin berucap.

“Ini tidak berlaku. Jam 4.30 semalam, selepas Adun Selising habis berucap, saya bangun untuk berucap tetapi Timbalan Speaker terus menutup persidangan dan tidak pula memberi notis sesi perbahasan telah tamat.

“Pada jam 4.30 petang masih awal untuk ditutup. Ia boleh berlangsung paling kurang, sampai jam 5 petang. Bahkan, Parlimen ada masanya berbahas sampai malam,” katanya.

Menurutnya sebagai Adun Amanah tunggal dalam Dewan Undangan Kelantan, peluang perlu diberikan.

“Untuk hanya Adun tunggal Amanah pun tidak berani diberikan, sedapat mungkin kerana saya percaya persidangan Dun Kelantan kali ini akan ditamatkan tengah hari ini.

“Pada hal, lazimnya Dun atau Parlimen bersidang sampai petang,” katanya.

Beliau mengecam sikap speaker yang dianggap tidak berbaloi menuntut elaun sehari penuh untuk persidangan dewan.

“Setiap Adun yang menghadiri sidang Dun layak menuntut elaun. Elaun itu untuk persidangan sehari penuh.

“Tetapi atas suka hati Speaker, elaun sehari penuh itu terbayar untuk persidangan separuh hari,” katanya.

Menurut Husam sekalipun layak menuntut elaun persidangan, beliau tidak pernah berbuat demikian.

“Apatah lagi dengan persidangan separuh hari seperti hari ini, yang disengajakan.

“Pada hal, keadaan memerlukan persidangan sehari penuh,” katanya.

TAGS