Malaysia Dateline

Sikap rakyat utamakan disiplin faktor penting kurangkan wabak COVID-19, kata Mahathir

Sikap rakyat China dan Korea Selatan yang berdisplin ketika menghadapi penularan Covid-19, dilihat antara faktor kedua-dua negara tersebut lebih berjaya mengurangkan pandemik wabak itu berbanding Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Perkara itu diakui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi temubual yang disiarkan secara langsung di laman sosial Facebook bersama Dr Nurul Yaqeen dari Pusat Perubatan Velocity Sunway, hari ini.

Dr Mahatir menyifatkan, rakyat di kedua-dua negara tersebut (China dan Korea Selatan) tahu apa yang sepatutnya mereka perlu lakukan.

“Jadi kita mendapati, pendekatan yang ditunjukkan di China dan Korea Selatan adalah berlainan daripada pendekatan di negara-negara maju seperti di Eropah dan juga AS.

“Sebab itu kita mendapati China dan Korea Selatan dapat menangani masalah ini dengan lebih berjaya kerana, apabila mereka diberi arahan supaya membuat sesuatu, maka rakyat akan patuh,” katanya dalam temubual itu.

Namun, Dr Mahathir yang juga pemilik Klinik MAHA di Alor Setar, berpendapat negara Eropah dilihat berbeza dengan kedua-dua negara seperti yang disebut itu.

“Kita lihat di negara Eropah, kadang-kadang ada yang tidak mengambil berat, ada yang berpendapat bahawa ini masalah negara miskin, negara membangun.

“Mereka tidak ada kemudahan perubatan seperti yang kami ada, jadi kami lebih maju.  Kami boleh menangani masalah ini dengan lebih berjaya.

“Tetapi apa yang dilihat, walaupun mereka lebih maju, tetapi kemajuan mereka daripada segi sifat yang ada kepada mereka menjadi faktor yang menyebabkan mereka tidak begitu berjaya mengawal pandemik ini.

“Sebaliknya di negara yang kurang maju, seperti China, Korea Selatan (pun sudah maju), tetapi sifat yang ada pada rakyat mereka ialah mereka amat berdisplin,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr Mahathir membuat kesimpulan bahawa bukan kemudahan sahaja yang penting (untuk menangani pandemik), tetapi sikap dan sifat rakyat yang mengutamakan disiplin, juga menjadi faktor penting dalam mengurangkan penularan wabak