Sikap salahkan anak muda sebab peralihan sokongan kepada PH

Sikap salahkan anak muda sebab peralihan sokongan kepada PH

Sikap pemimpin Pas dan Umno yang hanya tahu menyalahkan anak muda yang mahukan politik inklusif menyebabkan golongan itu menjadi muak dan beralih kepada menyokong hujah politik Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Pemuda PH Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata sokongan anak muda yang beralih kepada PH adalah akibat kelemahan pemimpin Pas dan Umno sendiri, namun anak muda dan teknologi telah dijadikan ‘kambing hitam’ oleh pemimpin parti itu.

“Ini bukan salah anak muda, sebaliknya pemimpin-pemimpin Pas sendiri yang tidak memahami idealisme dan selera anak muda. Politik sememangnya tentang dasar, dan selera semasa. Ini tidak dapat dielakkan oleh mana-mana parti yang mahukan sokongan.

Sikap ini tidak menggambarkan kearifan mereka dalam berdakwah dengan hikmah, sebaliknya sering menyalahkan pihak lain yang lebih mendekati rakyat dan membawa perjuangan rakyat,” kata Anggota Parlimen Muar itu menerusi kenyataan di sini malam tadi.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Muslimat Pas dekat Kuantan, Pahang hari ini berkata 30 peratus anak muda mengundi PH pada pilihan raya umum lepas tidak mengaji kitab, tidak mengaji agama, tetapi mengaji dengan telefon bimbit, Facebook dan WhatsApp.

Syed Saddiq berkata beliau bersetuju dengan pandangan Abdul Hadi bahawa politik bukan ‘kajian dua hingga tiga minit’, tetapi beliau berpendapat politik adalah hal ehwal dasar dan agenda yang perlu diperhalusi dengan hujah serta pandangan yang rasional.

Bagaimanapun, beliau mendakwa apa ditawarkan Pas dan Umno hanyalah politik dengan menggunakan sentimen perkauman serta agama, malah hanya tahu menyalahkan DAP, menyalahkan pengkritik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Saya merasakan hujah anak muda pengundi PH tak mengaji kitab ini sebagai menghina ‘kecerdikan’ anak-anak muda,” katanya.

— BERNAMA