Sikap saya terhadap Pas dan Amanah

Ahmad Lutfi Othman

 

BAHAGIAN PERTAMA

Sehingga 2015, bermula daripada pertengahan 1970-an, apabila minat siyasah saya berputik, saya tidak pernah terfikir untuk menyokong mana-mana parti politik, selain Pas.

Saya pernah memberitahu Dr Janet Steele, sarjana media Universiti George Washington, Amarika Syarikat, yang membuat kajian khusus tentang jurnalisme dan politik Islam di Asia Tenggara, berdasarkan kes antara lain, Harakah, bahawa sokongan terhadap Pas bukan pilihan saya, tetapi ia merupakan satu kewajiban dan tuntutan agama.

Selemah mana pun Pas, saya tidak terfikir untuk memilih parti lain. Alasan tunggalnya kerana Pas satu-satunya parti Islam yang ada. Titik.

Dalam satu konferen di Universiti Oxford, 2016, Janet sewaktu membentangkan hasil kajiannya, antara lain: Lutfi was born into a family that was “all PAS,” and everyone in his kampung belonged to the Islamic party. “If there were Umno members, they didn’t want to admit it,” he says, laughing (interview, July 25, 2013). “Since the time I was little,” he said, “my family, my father, always emphasized the importance that as a Muslim person, in our entire life, Islam has to be followed. By our worship, our ritual, praying, fasting – even the issue of politics.”

“In Malaysia, there is only one Islamic party, so even if its leaders were “not perfect,” Lutfi believes that he had no choice but to follow it. “If there is only one Islamic to straighten it out from the inside,” he says.

Dr Janet berjumpa dengan Lutfi di rumahnya.

Dr Janet berjumpa dengan Lutfi di rumahnya.

 

Pada malam keputusan pilihan raya Kelantan, 1978, yang menyaksikan Pas kalah teruk, tinggal dua kerusi Dun, dan hilang pemerintahan ke atas negeri itu, saya menangis teresak-esak, sambil mendengar berita sedih itu melalui radio, di rumah kedai kami, di Pekan Tunjang, Jitra. Umur saya, 15 tahun.

Biarpun kekalahan itu cukup memedihkan, namun ia tidak sedikit pun memalukan, malah mendorong semangat, sekurang-kurangnya untuk terus memberi sokongan dan berkempen kepada kawan-kawan sekolah – yang belum cujup umur untuk menjadi pengundi – agar menyokong Pas.

Apalah sangat yang boleh dibuat oleh budak kampung, Tingkatan 3 waktu itu. Dapat sedikit kesedaran politik pun melalui ceramah-ceramah berdekatan yang saya ikuti sekitar Kubang Pasu menemani abang ipar.

Terpegun juga mendengar pidato bersemangat dan indah bahasanya oleh Datuk Asri Muda, Yang Dipertua Agung Pas di Kodiang. Kebetulan pada 1978, Asri berpindah dari kawasan parlimennya Nilam Puri, Kelantan ke Padang Terap, Kedah.

Malangnya, Asri yang menjadi tokoh kesayangan saya, tewas. Semasa di Sekolah Teknik Alor Setar, 1979-80, saya teruja dengan demonstrasi petani yang menuntut kenaikan harga padi. Rakyat miskin dan tertindas bangun menuntut hak. Penggunaan ISA terhadap pemimpin tunjuk perasaan itu menebalkan lagi amarah saya kepada regim pemerintah.

Saya juga didedahkan dengan taktik kotor permainan perkauman yang menjadikan pelajar sekolah sebagai sasaran. Bangsa Cina dan DAP digambarkan sebagai hantu yang berbahaya dan menakutkan. Pelbagai cerita tentang tragedi berdarah 13 Mei 1969 dikisahkan secara dramatik, dalam keadaan bilik yang dipadam lampu, bagi memudahkan imiginasi palsu itu mempengaruhi budak-budak sekolah.

Alhamdulillah, berkat asuhan politik sejak kecil, saya menganggapnya tidak lebih daripada propaganda murahan, untuk mengekalkan sokongan kepada Umno-BN.

Ketika rakan-rakan lain nampak gerun dan bermuka pucat mendengar kisah sadis pelampau Cina nembunuh orang Melayu, saya lebih berhati-hati menyaringnya, dan ferfikir apa solusi Islam untuk kita hidup harmonis dan saling mempercayai sesama warga. Bukankah kita daripada pelbagai kaum dan agama, sudah ditakdirkan hidup berjiran, satu kelas dalam sekolah yang sama, justeru mengapa harus disuntik kecurigaan dan benci-membenci.

1979, Tingkatan 4, saya berpindah ke Sekolah Teknik, Alor Setar. Menetap di asrama. Jarak daripada rumah 20 batu. Di sini, sebagai budak kampung yang malu dan gagap, mulai terdedah dengan dunia luar.

1980, berlaku pilihan raya kecil Dun Bukit Raya. Ustaz Fadzil Mohd Noor yang saya kenal dari jauh dipilih untuk mewakili Pas. Mengenalinya sebagai tokoh muda ABIM, selain Anwar Ibrahim. Tentunya saya mendoakan agar Ustaz Fadzil dapat masuk sidang Dun.

Ada yang memberitahu saya, inilah pemimpin masa depan Pas, yang tinggi ilmu agamanya dan berpengalaman dalam gerakan Islam. Beliau boleh mengangkat martabat Pas sebagai parti Islam yang dihormati. Malang sekali, pada malam keputusan pilihan raya, Ustaz Fadzil yang bertanding buat kali kedua, sejak 1978, diumumkan tewas, dengan majoriti tipis.

Air mata saya mudah tumpah. Tetapi harapan saya lebih besar. Saya meneka, bintang baru Pas sedang menyinar. Ya, selepas kekalahan itu, bermula 1982, Ustaz Fadzil tidak pernah kecundang lagi apabila bertanding di kerusi Dun.

Ustaz Hadi dan Ustaz Fadzil di era kegemilangan Pas.

Seingat saya, pertama kali berdepan Ustaz Fadzil adalah semasa beliau berceramah Maulid Nabi di Pondok Tok Guru Haji Abu Bakar Palestin, Air Hitam, Jerlun. Tok Guru Haji Bakar mempunyai kuliah tetap di madrasah kampung saya, Kampung Raja.

Saya berdiri tidak jauh daripada tempat Ustaz Fadzil bersyarah, di pintu sebuah rumah. Dengan lantunan suara yang mersik, tinggi-rendah, disulami jenaka yang tidak berlebihan, petikan ayat Quran dan Hadis mengukuhkan hujah, saya terpesona dan lantas menjadi peminat nombor satunya.

Saya terbayang, alangkah segak dan padan jika Anwar dan Ustaz Fadzil bergandingan sebagai dua pimpinan tertinggi Pas! Sejak itu, saya kerap mencari kaset-kaset ceramah Ustaz Fadzil. Apabila menjejakkan kaki ke kampus Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Gurney, sekitar 1981, dua tiga kali juga saya terserempak dengan Ustaz Fadzil ketika menapak ke dewan kuliah. Nampak beliau mudah mesra dan rendah diri.

Kemudian baru saya tahu, Ustaz Fadzil dipecat UTM kerana menjadi calon pilihan raya, dan beliau menang apabila kesnya dibawa ke mahkamah, serta mendapat pampasan. (Semasa Ustaz Fadzil meninggal dunia di HUKM, pada 2002, saya berselisih dengan bekas Naib Canselor UTM, Tan Sri Ainuddin Abd Wahid, yang berkerusi roda, berhimpit-himpit di antara8 ribuan orang untuk mengunjungi jenazah di surau berdekatan. Orang yang pernah memecatnya datang untuk memberi penghormatan terakhir).

Semasa mengikuti kursus kejuruteraan awam di UTM, selama lima tahun, saya dekat dengan rakan-rakan sealiran, iaitu bersama-sama mendukung perjuangan Pas. Tidak seperti sahabat yang lain dalam jamaah Hizbi Islam, saya agak liat menghadiri program-program rutin, seperti usrah, tamrin dan pengajian.

Namun keprihatinan dan minat saya dengan isu-isu politik tetap menonjol. Jika sembang-sembang hal semasa, dua atau tiga jam terasa singkat sahaja. Menjelang pilihan raya umum 1982, yang menyaksikan Dr Mahathir Mohamad buat pertama kali mengemudi kempen BN, ada khabar yang tidak menyenangkan bertiup kencang. Ura-ura Anwar telah dipancing Mahathir untuk bersama Umno. Pastinya sebagai anak muda yang mengimpikan, bukan hanya Anwar menyertai Pas, tetapi mengetuainya, saya cukup kecewa sekali.

Semasa saya balik kampung, beberapa jiran penyokong kuat Pas pada satu malam bertandang dan isu yang hangat dipersoalkan, tidak lain, benarkah Anwar akan masuk Umno. Mereka agak keliru, bagaimana mungkin Anwar boleh tertarik dengan Mahathir sedangkan beliau dikenali sebagai tokoh yang pandangannya banyak bercanggah dengan Islam. Mereka merujuk kepada buku Mahathir, Malay Dilemma yang diharamkan kerajaan terdahulu, yang dikatakan kandungannya ada mengkritik ajaran agama. Mahathir adalah ahli Parlimen kawasan kami, Kubang Pasu, sejak 1974.

Dalam pilihan raya 1969, Setiausaha Agung Umno dan Menteri Penerangan, Senu Abd Rahman kalah di tangan calon Pas, juga di konstituensi kami. Saya masih ingat lagi, seorang rakan abang ipar saya, pada malam itu, dengan cepat menyanggah: “Aku dapat tahu, Ustaz Fadzil menafikan khabar Anwar akan masuk Umno. Hubungan Anwar dengan Ustaz Fadzil, ibarat kuku dengan isi. Jadj, toksah percayalah berita tu.”

Saya merasakan ketokohan Anwar, terutama berpengalaman dan teruji dalam gerakan Islam, ABIM, juga legasinya bersama pertubuhan mahasiswa, serta menjadi juara isu-isu rakyat terpinggir, malah dikenali di peringkat antarabangsa, mampu membantu Pas memulihkan imej dan prestasinya selepas kalah pada 1978. Partisipasi rakan-rakannya dalam ABIM untuk terlibat aktif dengan Pas, seperti Ustaz Fadzil, Ustaz Nakhaie Ahmad dan Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, semacam membuka laluan kepada Anwar untuk terjun sama ke dalam parti Islam.

Namun, Anwar mempunyai perkiraan dan sifir politik tersendiri. Keputusannya bukan sahaja menghampakan ramai orang tetapi cukup mengecewakan. Anwar memilih Umno dan Mahathir. Mungkin itu jalan praktikal untuknya mendaki takhta kuasa yang diidamkan. Pas tidak berupaya memberi laluan singkat ke puncak.

Saya, seperti penyokong gerakan Islam yang lain, terkedu sedih, pedih terhiris. Kami yakin Anwar telah memilih jalan yang salah; cita-cita Islam tidak dapat dicapai melalui kaedah yang batil. Anwar hanya dipergunakan untuk menyekat gelombang kebangkitan Islam awal abad ke-15 Hijrah. Dia akan berlumuran najis setelah masuk ke dalam tong tahi walaupun niatnya untuk membersihkan daripada dalam! Paling pokok, penyertaannya bersama Umno adalah bercanggah dengan kehendak syarak.

ABIM yang dilihat merestui langkah songsang Anwar itu turut mendapat tempias buruk. Pas menjadi lebih popular di kalangan anak muda, khususnya mahasiswa. Regim Mahathir-Musa pula hanya mengemukakan Islam sebagai kosmetik, dan Anwar menjadi alat untuk Umno berdepan kebangkitan Pas di bawah kepimpinan ulama selepas Datuk Asri Muda dijatuhkan. Saya menghadiri satu pidato di Gombak, bertajuk Pas tuduh Umno kafir: Anwar jawab! Dan dalam pilihan raya umum 1982, Anwar bertanding di Permatang Pauh menentang penyandang daripada Pas, Haji Zabidi Ali, dan menang bergaya.

Di seluruh negara, Pas hanya menang 5 kerusi Parlimen, empat daripadanya di Kelantan, satu di Kedah. Serambi Makkah masih kekal di bawah BN. Di Terengganu, Pas berjaya menang lima kerusi Dun. Namun begitu, ungkapan Ustaz Hadi Awang menjadi azimat: “Lima kerusi itu ibarat lima jari yang bila digenggam menjadi satu penumbuk yang kuat!”

Meskipun gagal diterjemahkan dalam bentuk undi yang berkesan pada hari mengundi, pengaruh dan kekuatan Pas tetap terasa – khususnya bagi kami, penyokong tegar-fanatik – makin membesar. Majlis-majlis ceramah dan himpunan dihadiri puluhan ribu orang.

Kepimpinan baru Yusof Rawa menampilkan dua tokoh pemidato, iaitu Ustaz Fadzil dan Ustaz Hadi. Kelantangan Ustaz Hadi menjadi tarikan utama. Kampus yang masih terbuka kepada penceramah luar ketika itu terhampar sebagai pentas untuk Ustaz Hadi menonjjolkan kepetahannya menundukkan wakil Umno. Kaset ceramahnya begitu laris. Satu daripadanya, yang saya ingat adalah syarahannya di Universiti Pertanian (sekarang, Putra) Malaysia.

Saya sendiri menyaksikan dalam satu forum politik di Dewan Besar UTM, wakil Umno seperti diperbudakkan oleh Ustaz Hadi. Dewan bergemuruh dengan sorakan dan laungan takbir. Di lokasi yang sama, Anwar sebagai timbalan menteri, dicabar oleh puluhan soalan, daripada mahasiswa beratur panjang yang bersemangat bertanya, termasuk mempersoalkan langkahnya menyertai Umno. Saya perasan Anwar seperti nampak gelabah dan beremosi ketika menjawab serangan itu.

Tidak lama kemudian, pentadbiran universiti bertindak drastik melarang tokoh-tokoh pembangkang daripada menghadiri program dalam kampus. Maka hilanglah seri menara gading yang sekian lama menjadi wadah percambahan minda kritis warganya dan platform membincangkan isu-isu kontroversi secara bebas.

Ketika itu juga, sekitar 1983, mahasiswa semakin ramai mendukung perjuangan Islam Pas. Identiti dan jatidiri Pas sebagai gerakan Islam diperkukuhkan. Pengaruh revolusi Islam Iran berkembang pesat dan menyuntik rasa yakin pemerintahan “jahiliyah” mampu ditumpaskan walaupun bersandar kuasa besar dunia.

Buku Petunjuk Sepanjang Jalan yang banyak mempengaruhi pelajar Malaysia di era 1980an.

Buku-buku Ikhwan Muslimin dan Jamaat Islami menjadi rujukan. Pemikiran tokoh-tokoh seperti Hassan al-Banna, Syed Qutb, Fathi Yakan, Maududi, disanjung, dikupas dan dihayati. Antara karya yang dihadam ialah Petunjuk Sepanjang Jalan dan Apa Erti Saya Menganut Islam. Kisah Imam Khomeini bersenjatakan tangan kosong menjatuhkan regim Shah Iran juga menimbulkan inspirasi berpanjangan.

Rakan-rakan saya turut meminati buku-buku terjemahan daripada ulama dan pemikir Iran. Isu Syiah tidak begitu ketara lagi. Tumpuan lebih kepada mengambil semangat daripada kebangkitan golongan tertindas, mustadhafin, menentang golongan mustakbirin, penindas.

Saya juga pernah mengikuti program anjuran penyokong revolusi Iran di sebuah hotel dekat Kampung Baru, Kuala Lumpur. Di waktu yang sama, beberapa aksi Musa Hitam, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri dilihat sebagai anti-Islam, serta menimbulkan kegelisahan, sehingga ada sahabat-sahabat saya nekad menelefon rumah Musa untuk menyuarakan amarah mereka!

Ya, walaupun kami masih di tahun-tahun awal pengajian, berusia dalam lingkungan awal 20-an, berjumlah hanya sekitar 30-40 orang, namun impian dan harapan adalah untuk mengubah dunia, kembali tunduk menyerah kepada Allah.

Tiada solusi terbaik kepada segala masalah, kemelut dan krisis di muka bumi ini kecuali penyelesaian yang dikemukakan Islam. Dan apabila rakan-rakan saya ini menyertai pilihan raya kampus, motto yang digunakan mereka semua seragam, iaitu Allah Matlamat Kami. Sokongan pelajar pula hampir menyeluruh. Kami menang besar.

Di kala Pas kalah teruk dalam pilihan raya umum, tapi di kebanyakan kampus, “anak-anak Pas” bukan sahaja menguasai Majlis Perwakilan Pelajar, malah membentuk kekuatan yang dihormati. Ia berjaya menyemai personaliti yang berakhlak, walaupun terdapat elemen memandang agak rendah kelompok lain.

Sekitar pertengahan 1980-an, waktu Anwar menjadi Menteri Pendidikan, hanya Universiti Kebangsaan Malaysia dimenangi kumpulan pelajar pro-Umno. Kampus-kampus di utara Semenanjung, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Sains Malaysia turut kritikal dengan pemerintah.

Bayangkan, Pas hanya memperolehi satu kerusi Parlimen pada 1986 -Tok Guru Nik Aziz Nik Mat pun kalah di Bachok – tetapi pengaruh Umno di menara gading seperti tersudut. Justeru, kami yang terasuh dengan tarbiyyah Pas, tetap melihat masa depan Islam dengan penuh optimis. Sekurang-kurangnya masyarakat terpelajar menjadi aset berharga untuk membentuk masa depan gemilang buat Islam. Itulah keyakinan kami tentang potensi yang menjanjikan.

Sesuatu yang indah dalam kehidupan berjemaah di kampus adalah jalinan ukhuwwah yang akrab dan ikhlas. Dan kami diasuh bahawa persaudaraan yang berpaut erai itu bukannya dirapatkan oleh faktor keturunan atau keluarga atau kepentingan tertentu, tetapi dinaungi faktor aqidah dan perjuangan yang satu. Kita boleh sahaja berpisah atau bercerai, walaupun daripada satu keluarga, jika tidak disatukan oleh asas perjuangan yang sama. Wah, bersemangat betul ketika itu!

1987. Saya mula berkhidmat dengan Harakah, akhbar rasmi Pas yang baru mendapat lesen atau permit penerbitan seminggu sekali. Untuk bulan-bulan awal, staf Harakah tidak mendapat gaji; kami diberi kemudahan makan percuma. Alhamdulillah, saya yang tinggal serumah bersama sahabat-sahabat jemaah dikecualikan daripada bayaran sewa dan keperluan dapur. Malah, ada sedikit sumbangan wang tunai untuk saya, yang dikumpulkan dari beberapa rakan yang prihatin. Terasa manisnya persahabatan dan segarnya idealisme yang dikongsi bersama, meskipun selepas keluar kampus.

Semasa dua tahun bergiat aktif dalam gerakan mahasiswa (1984-86), saya belajar erti kesabaran demi matlamat yang lebih besar, memahami perbedaan di antara jemaah, memaksa diri untuk bertolak ansur, mengenali birokrasi yang dicipta untuk menekan kebebasan, meraikan kepelbagaian yang nampak menyulitkan tetapi sebenarnya mendewasakan, bekerja keras dalam tekanan yang tinggi termasuk bergerak solo apabila rakan sepasukan dihimpit masalah, tidak memandang rendah saingan dan berusaha menangkap peluang yang melintas laju di hadapan.

Dalam diam, sesama jemaah Islam yang pelbagai itu, rupanya ada rasa keakuan yang “membunuh”. Usaha menambah keahlian baru juga boleh menimbulkan sengketa; masing-masing mahu melepaskan pucuk. Apabila ada rundingan, keputusan bukan ditentukan dalam mesyuarat tetapi harus dirujuk sepenuhnya kepada pihak di belakang tabir.

Apa pun, bagi saya, ia adalah permulaan satu proses kematangan yang panjang. Bukankah kampus itu medan atau operasi kepada rantaian eksperimen, yang tidak seharusnya dikunci oleh pantang larang dosa pahala semata? Ia gelanggang usaha saling mempengaruhi dan membina ketrampilan. Jika ada kumpulan merasakan mereka yang terbaik, itu juga sentimen yang lumrah bagi kelompok idealis. Masa dan perubahan zaman adalah penawar paling ampuh untuk merawat “penyakit” itu.

Saya sedikit resah apabila ada pihak mahu memastikan jalur gerakan mahasiswa terkurung dengan jemaah atau pertubuhan di luar. Mereka hanya mengaminkan titah ketua yang tidak menghayati idealisme perjuangan pelajar. Sedangkan, bukankah tabiat anak muda itu ghairah dengan eksperimen dan siri percubaan?

Apa salahnya memberikan ruang selesa untuk mereka beraksi berani mencetuskan pembaharuan, biarpun nampak nakal dan sedikit “gila”. Lepaskan mereka untuk merintis, dan sesekali tersadung atau terjatuh. Pengalaman, kekhilafan dan kesalahan makin cepat mendewasakan. Harungilah krisis, kemelut dan konflik. Belajarlah untuk berkomunikasi dengan semua pihak yang mempunyai pemikiran, idea dan pendekatan berbeda. Usah hidup di bawah tempurung dan sangkar sempit. Pelangi warna-warni alam kampus jangan dicat hitam-putih.

Kampus bukan hanya membekalkan pemimpin masa depan atau generasi intelek yang berkemahiran dan beradab untuk mengisi posisi kritikal di hari muka. Ia juga berperanan besar menyediakan satu kekuatan (ketumbukan) luar biasa yang tiada berkepentingan, sebagai penggerak zaman, pengawas elit penguasa, jurubicara masyarakat yang dipinggirkan, penggegar pemerintah korup, penyedar rakyat tentang hak dan kewajipan mereka.

Tentunya peranan penting itu hanya dapat dijayakan semasa masih bergelar mahasiswa dan sama sekali tidak boleh ditebus selepas meninggalkan kampus. Jangan menjadi orang tua yang berlagak dewasa dan matang ketika rakyat mendambakan gerakan anak muda yang nenggelegak darah dan berkobar semangat mereka. Usah risau, sabarlah, nanti anda juga akan menjadi tua, dewasa, lebih cermat, terlalu berhati-hati dan “berpandangan jauh”.

Meskipun saya aktif bersama jemaah Pas di kampus, semasa menerajui Persatuan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (PMUTM), saya membuka peluang kepada pimpinan ABIM – yang dilihat rapat dan dekat dengan Umno-Anwar – untuk mengisi program kami. Nampak seperti biasa sahaja, tetapi ia sebenarnya memecah adat. Saya dianggap “budak Pas” yang keras kepala, degil dan tidak bertolak ansur dengan pentadbiran universiti, terutama dalam menangani isu kontroversi ketika itu, pengharaman purdah, namun ia tidak menghalang saya untuk kerap berbincang dan bertukar-tukar pandangan dengan Naib Canselor, Tan Sri Ainuddin Wahid dan timbalannya, Prof Anuar Maarof. Selalunya saya bertamu di pejabat mereka selepas solat Asar.
Anuar pernah menghadiahkan buku tentang militan Islam. Itu pada tahun 1985. Dia menasihatkan saya jangan bersikap terlalu keras seperti Ikhwan Muslimin di negara Arab. Belajarlah, tambahnya, daripada pengalaman Nusantara dan tokoh-tokoh Islam Indonesia.

Anuar juga mencadangkan saya menelaah kitab Buya Hamka, Tafsir Azhar dan bukan hanya merujuk karya Syed Qutb. Ainuddin, yang mesra dipanggil Bapak Tan Sri, semasa diwawancara wartawan Harakah, sekitar 2006, melahirkan rasa pelik dengan watak saya, “Lutfi tu nampak aja lembut dan mudah berbincang, tapi keras masa dia pimpin persatuan siswa dulu.” Saya hanya mampu tersenyum bila diberitahu begitu,

Namun begitu, pengalaman kewartawanan saya, bermula sebagai pemberita sambilan untuk tabloid polbitik, seperti Mingguan Tanahair, dan kerap menulis untuk Watan dan Mingguan Bumi sekitar pertengahan 1980-an, kemudiannya didisiplinkan lagi semasa menjadi warga Harakah pada 1987, mengajar saya untuk menjadi lebih kritis, sering bertanya dan meragui khabar yang diterima, mempastikan dan berusaha mengesahkan info yang dimaklumkan.

Selain itu, saya diasuh untuk meneliti dan menekuni pelbagai sudut pandang sebelum merumuskan. Sekiranya timbul juga keraguan tetapi perlu membuat keputusan segera, maka dengarlah apa kata hati kecil atau nurani. Lebih baik untuk tidak menyiarkan berita yang dicurigai kebenarannya, walaupun datang daripada pimpinan tertinggi parti.

Ya, benar, saya ada pengalaman tersendiri, apabila siarkan juga khabar yang disangsikan kerana dimaklumkan oleh seorang pemimpin yang rapat, dan nurani saya berbisik untuk menolaknya, tetapi kerana “malu alah” saya siarkan juga. Akhirnya, terbukti berita itu hanya propaganda dan saya berasa bersalah untuk tempoh yang lama. Kadang-kadang kita takut menggunakan neraca logika mudah dan pertimbangan rasional semata-mata kerana menurut arahan pihak atasan.

Benar kata beberapa teman penulis, bahawa saya bukanlah seorang editor yang baik untuk lidah rasmi parti seperti Harakah. Bagi mereka, ketua pengarang organ parti hanya menerima satu arahan, iaitu daripada pimpinan parti dan tiada dolak-dalik lagi. Sedangkan saya, tambah mereka, banyak pula karenahnya, apatah lagi saya turut aktif memperjuangkan kebebasan akhbar.

Ada kalanya, dilihat pertimbangan kewartawanan melebihi kepentingan atau muslihat (strategi) politik parti (atau tokoh tertentu). Misalnya, menjelang PRU13, saya pernah mengabaikan arahan pimpinan tertinggi Harakah agar tidak menyiarkan di muka depan, foto perdana menteri memegang bahu bekas ratu cantik yang terdedah. Saya mempersoalkan rakan wartawan yang memaklumkan perintah itu kepada saya, “kenapa bos tak arahkan terus kepada saya, boleh juga saya bertanya kenapa tak boleh siar, sedangkan gambar itu eksklusif untuk Harakah”.

Sejurus selepas disiarkan, bos besar itu segera menelefon saya, marah dengan keengkaran saya itu. Saya hanya memohon maaf tidak mahu memanjangkannya sambil memberi jaminan perkara seumpama itu tidak akan berulang. Dalam diam, saya memegang prinsip, “lebih baik minta maaf daripada minta izin!”

Saya juga membuat pertimbangan sendiri dalam pemilihan berita, susulan Langkah Kajang bagi mengenepikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Pergeseran Pas dengan Keadilan nampak ketara. Serang menyerang berlaku secara terbuka.

Hubungan Pas dan PKR putus secara rasmi pada muktamar 2017.

Dalam satu majlis tertutup, yang dihadiri 5,000 orang, dekat Rusila, Terengganu, Ustaz Hadi melemparkan kritikan keras, dan agak personal, terhadap Presiden Keadilan, Dr Wan Azizah Wan Ismail, bagi menafikan kelayakan Ketua Pembangkang itu sebagai calon pengganti Khalid. Wakil Harakah Terengganu menghantar transkrip ucapan Ustaz Hadi itu. Pelik juga, taklimat dalam majlis tertutup mahu dihebahkan seluas-luasnya. Saya cuba menyemak program itu dalam youtube. Suasananya nampak seperti dalam majlis terbuka. Saya merasakan kandungan ucapan Presiden Pas itu tidak sesuai disiarkan kerana boleh mengundang perpecahan lebih serius dalam barisan oposisi. Dalam hati saya terlintas, kalaupun Pakatan Rakyat akan bercerai-berai, janganlah ia berpunca daripada Harakah. Biarlah ia menjadi viral dalam media sosial, namun organ parti tidak perlu menyebar-luaskan lagi.

Satu lagi insiden, yang membuktikan saya bukan editor Harakah yang baik, adalah liputan muktamar Pas 2014 di Batu Pahat. Saya tidak pasti bagaimana bentuk laporan “doa laknat” yang dibacakan oleh perwakilan Wilayah Persekutuan, seorang ulama. Rasanya ia tidak ditonjolkan kerana aksi melampau itu begitu memalukan.

Wakil Kuala Kedah yang secara spontan bangun menegur cara perbahasan berselindung di sebalik doa itu, dihalang oleh pihak keselamatan, walhal Pengerusi Tetap muktamar belum membuat apa-apa ruling. Namun, apa yang pasti, ucapan penggulungan presiden – yang kontroversi dengan ungkapan barua, broker – yang saban tahun disiarkan Harakah secara penuh, kaki itu hanya dibuat berita ringkas.

Saya masih ingat, dalam mesyuarat editorial di bilik kerja Pengarah Urusan, saya mencadangkan agar ucapan penuh amarah presiden itu, tidak disiarkan secara verbatim, kerana ia boleh mendorong kepada suasana lebih gawat dan memburukkan lagi keadaan.

Saya menerima teguran, “susahlah kalau ucapan presiden dalam muktamar pun mahu disekat dan digelapkan oleh akhbar parti sendiri.”

Saya yang diamanahkan sebagai ketua pengarang Harakah pada awal 2006, selepas dipindahkan daripada akhbar Siasah, cuba membuat beberapa perubahan, antaranya dengan memuatkan temubual panjang tokoh-tokoh bukan Pas, malah bukan daripada kalangan politikus pun. Misalnya, Tan Sri Ainuddin Wahid, Prof Emiritius Abu Bakar Hamid dan Tan Sri Basir Ismail.

Selain itu, saya mempelawa beberapa pimpinan DAP dan Keadilan untuk menjadi kolumnis, selain pemikir bebas Wan Saiful Wan Jan. Agak mengejutkan, sebaik tersiar tulisan pertama Nurul Izzah Anwar, sudah ada bantahan serius daripada Muslimat Pas. Aneh juga, mengapa perlu protes, Nurul Izzah bukannya mengambil ruang orang lain. Dan kami bersedia untuk menghamparkan peluang kepada pemimpin Muslimat Pas jika mereka berhasrat untuk menulis.

Malang sekali, itulah kali pertama dan terakhir Nurul Izzah menulis walaupun sambutan pembaca baik sekali. Kolum pemimpin muda DAP, Liew Chin Tong bertahan lama tetapi sering mendapat rungutan terutama apabila menyinggung isu-isu sensitif, seperti hudud, hak non Muslim dan sebagainya. Ruang tetap rakan saya, Lim Hong Siang ada kalanya turut dikritik tetapi saya mempertahankannya. Hujah saya mudah, daripada kedua-dua kolum Liew dan Lim itu, kita mendapat maklum balas respons masyarakat bukan Islam terhadap Pas. Kalau ada yang mahu mengkritik kolum tersebut, silakan menulis, Harakah pasti menyiarkannya. Tetapi haruslah bersedia jika berlaku polemik berpanjangan.

Hayat kolum Wan Saiful tidak panjang kerana ada keputusan muktamad bagi menamatkannya dari pihak atasan, walaupun jelas ia didorong oleh sentimen lama yang hanya difahami oleh orang-orang tertentu sahaja. Walaupun perubahan kecil untuk memperbaiki citra dan kandungan Harakah menemui sedikit kesulitan, namun saya tidak menyalahkan pimpinan Pas sepenuhnya. Ia satu cabaran yang menggalakkan saya kebih kreatif.

Di mana-mana juga penerbitan akhbar, apatah lagi organ parti, akan berdepan pelbagai rintangan, hambatan dan pantang-larang. Malah, sesungguhnya, di atas segala kekangan itu, saya mengangap pemimpin Pas secara umumnya masih menghormati kebebasan ketua pengarang. Namun begitu, suasana selesa dan kondusif itu hanya dibenarkan sehingga hujung tahun 2014, berbetulan sehingga khidmat saya ditamatkan.

Apa pun saya yakin, faktor yang lebih penting adalah sikap editor itu sendiri: apakah dia bersedia untuk menurut apa jua arahan tanpa soal-jawab, ataupun bersikap kritis dan berdiri atas profesionalisme kewartawanan tetapi masih bertanggungjawab untuk memajukan parti.

Alhamdulillah, saya agak lega meniti detik-detik sukar ketika Pas mula retak sekitar hujung 2014. Tempoh meruncing itu datang sewaktu kesihatan saya merosot dengan begitu teruk. Kualiti penglihatan menjunam, pandangan kabur sehingga hampir tidak mampu membaca sama sekali. Kadang-kadang terpaksa dituntun untuk berjalan, terutama apabila pendarahan berlaku pada kedua-dua mata.

Masa sama, kegagalan buah pinggang sudah di tahap serius. Fungsi ginjal jatuh di bawah 12 peratus. Kerap muntah, mual, dan pening yang kuat. Payah untuk bergerak, apatah lagi untuk memandu ke pejabat. Saya seperti berada dalam dunia tersendiri, halusinasi. Mendengar berita TV pun sudah merimaskan. Berat badan menurun 20kg. Selera makan terpadam. Lidah terasa bagai ada logam, tanda toksik berkumpul dalam badan.

 

BERSAMBUNG KE BAHAGIAN KE II

CATEGORIES
TAGS