Malaysia Dateline

Sikap segelintir NGO punca pembaziran makanan disalurkan kepada gelandangan

Pengasas Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi) Soup Kitchen, Datuk Munirah Abdul Hamid mendedahkan, terdapat segelintir Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang enggan mendengar saranan diberikannya sehingga menyebabkan berlaku pembaziran makanan.

Beliau  berkata, pihaknya juga telah mengajar cara tertentu kepada NGO terlibat bagi mengelakkan berlakunya pembaziran ketika bantuan disalurkan kepada gelandangan, tetapi mereka tidak mengendahkannya.

“Apabila kami menegur mereka, kami pula yang kena marah dengan ayat ‘peduli apa… ini duit kami.

“Disebabkan ‘peduli apa, ini duit kami’ itu lah yang terjadinya pembaziran.. ada satu malam, seorang gelandangan dapat lima bungkus nasi beriani, dia (gelandangan) tendang begitu sahaja nasi itu.

“Ini memang kisah benar, akhirnya kucing dan tikus yang makan.. kami antara NGO memang mempunyai kerjasama yang sangat rapat dan merancang supaya tidak membazir itu adalah satu kemestian, tetapi masalahnya sekarang ialah, masyarakat tak nak dengar,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Munirah mengulas demikian ketika ditanya berhubung cadangan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, pada Selasa yang mencadangkan NGO menyelaraskan aktiviti berbentuk bantuan demi mengelakkan pembaziran.

Nadzim memberitahu, beliau pernah melihat kadangkala makanan yang dihantar kepada golongan gelandangan terlalu banyak, sehingga banyak yang tersisa, sekali gus mendorong NGO membuat perancangan terlebih dahulu sebelum agihan dilakukan.

Susulan cadangan Nadzim, Munirah menyarankan NGO menghulurkan bantuan berbentuk makanan atau pakaian kepada penduduk luar bandar yang kurang berkemampuan, demi mengelakkan pembaziran berlaku di bulan mulia ini.

Beliau berkata, penduduk kampung dilihat lebih memerlukan bantuan seperti itu, berbanding golongan gelandangan di sekitar ibu kota.

“Golongan gelandangan di ibu negara sering ‘disajikan’ dengan kuantiti makanan yang banyak, sehingga mereka bertindak memilih makanan yang digemari sahaja.

“Bila ada mana-mana NGO mendekati saya untuk bertanya tentang bantuan, saya cakap pergi lah ke kampung, ramai lagi masyarakat yang susah di sana.. buka puasa hanya makan nasi dan sayur, apatah lagi lauk ayam, memang tidak ada lauk itu.

“Di Kuala Lumpur, golongan gelandangan ini dah banyak sangat dapat makanan.. sebab itu bila tiba bulan puasa, bantuan dikurangkan kerana kami tahu akan ada kumpulan NGO yang ingin membantu secara tiba-tiba.

“Kadang-kadang saya tengok lima atau enam orang datang bagi nasi yang sama kepada gelandangan.. siapa yang nak makan nasi banyak-banyak macam itu, mereka pun dah tak larat nak tengok nasi.. membazir begitu sahaja,” katanya.