Malaysia Dateline

Sikap tidak apa Rina penyebab keganasan rumahtangga meningkat, dakwa MP DAP

Sikap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang seolah-olah tidak mengambil pusing dan mengabaikan isu keganasan rumahtangga, menjadi penyebab kes sedemikian terus meningkat.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto berkata, Datuk Seri Rina Harun sepatutnya mengadakan lebih banyak pertemuan dengan pemegang taruh dalam Talian Kasih sekurang-kurangnya sebulan sekali agar perancangan menangani isu berkenaan dapat dirangka dengan baik.

Dalam sidang Dewan Rakyat tadi, kali terakhir Menteri dilaporkan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keganasan Rumahtangga pada April 2020, iaitu tujuh bulan lalu.

“Sikap ‘tidak-apa’ ini lah yang menyebabkan kita selalu dengar banyak jenayah dilakukan terhadap kanak-kanak, keganasan rumahtangga dan masalah kesihatan mental yang semakin meningkat.

“Tidak ada penegasan dan wawasan dari KPWKM. Angka yang membimbangkan ketika ini bersekali dengan kepemimpinan pasif, setengah hati dan tanpa semangat oleh Rina Harun dan Siti Zailah, adalah resipi paling bencana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam sidang Dewan Rakyat tadi, Kasthuri bertanya kepada KPWKM berhubung jumlah aduan yang diterima Talian Kasih bermula Januari tahun ini terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Timbalan Menteri KPWKM, Siti Zailah kemudiannya memaklumkan bahawa sehingga 14 November 2020, sebanyak 159,703 panggilan melalui Talian Kasih 15999 dilaporkan termasuk aduan menerusi WhatsApp di talian yang sama.

Pecahan rekod talian juga dinyatakan dengan sebanyak 1847 berkaitan kanak-kanak; 2287 berkaitan keganasan rumahtangga; 467 berkaitan gelandangan; 70,177 berkaitan permohonan bantuan kebajikan; 4119 mengenai kaunseling; 661 kurang upaya dan 359 warga emas.

Bagaimanapun Kasthuri berkata, setelah dikira-kira, keseluruhan aduan hanyalah berjumlah 79,917 dan bukannya 159,703 aduan.

“Apa terjadi dengan lebihan 79,786 aduan yang diterima itu?

“Menteri dilaporkan hanya mempengerusikan satu mesyuarat Jawatankuasa Keganasan Rumahtangga bersama semua pemegang taruh pada April lalu.

“Menteri juga gagal menyebutkan bila pertemuan seterusnya akan diadakan dan tidak menjawab pertanyaan saya sama ada Talian Kasih menerima panggilan mengenai gangguan seksual kerana tidak ada apa-apa dari Kementerian yang menunjukkan RUU berkenaan akan dibahaskan dalam persidangan ini,” katanya lagi.