Malaysia Dateline

“Sila meninggal” kata ahli MKT kepada penyokong Bersatu dalam Umno

Kepada mana-mana pemimpin yang berpura-pura mendukung Umno tetapi jiwa mereka sebenarnya telah dibeli dengan murah sekali “sila meninggal”, kata ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi.

Beliau yang memetik kata-kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, berpendapat, bukan mereka ‘ditinggalkan’ tetapi ‘sila meninggal’.

Bekas Ketua Pengarah Jasa itu menyifatkan pedas betul teguran timbalan presiden yang lebih dikenali Tok Mat itu apabila berkata “pemimpin yang berpura-pura mendukung Umno tetapi jiwa mereka sebenarnya telah dibeli dengan murah sekali”.

Tegas Tok Mat lagi, “mereka ini masih perlukan Umno untuk bernaung, tetapi cinta dan hati mereka sudah kepada orang lain”.

“Tepat sekali ayat Tok Mat yang berbunyi, “Mereka telah digelapkan dengan kesenangan yang bersifat kebendaan.

“Pada mereka, Umno tidak lebih dari sekadar tunggangan. Bila kuat, mereka dekat. Bila lemah, mereka mengalah”.

“Cadangan Tok Mat ini saya sokong,” kata Puad kerana, “Umno ini bukan dayus. Sesiapa yang curang dan khianat, wajar ditinggalkan selama-lamanya”.

Tetapi siapakah mereka? Puad pasti ahli Umno sudah mengenali mereka.

“Mereka musuh dalam Umno, kata Tok Mat,” kata Puad lagi.