Malaysia Dateline

SilTerra, IGaN jalin kerjasama merevolusi teknologi semikonduktor hijau

Kilang wafer semikonduktor Malaysia, SilTerra Malaysia Sdn Bhd telah bekerjasama dengan IGSS GaN Pte Ltd (IGaN) yang berpangkalan di Singapura bagi pemindahan teknologi eksklusif untuk mengurangkan kos pengeluaran dengan keupayaan pengeluaran tinggi.

IGaN adalah peneraju teknologi global bagi membangunkan teknologi gallium nitrida ke silikon (GaN-on-Si).

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, syarikat terbabit berkata, pemecut teknologi itu akan merangsang penukaran teknologi silikon tulen dan berasaskan kompaun kepada GaN-on-Si, yang memberi kesan yang baik terhadap keuntungan dan daya saing perniagaan jangka panjang kuasa dan frekuensi radio syarikat semikonduktor.

“Dalam mengguna pakai penyelesaian ini, pemain semikonduktor kuasa boleh memanfaatkan potensi GaN-on-Si sebagai teknologi hijau yang membolehkannya memberikan kesan positif kepada alam sekitar global dengan meminimumkan kerugian penukaran kuasa,” kata mereka.

Peranti GaN – digunakan untuk ketumpatan kuasa tinggi, aplikasi pemindahan kuasa tanpa wayar – adalah teknologi inovatif yang direka untuk aplikasi pengecasan tanpa wayar yang jauh melebihi aplikasi kuasa rendah seperti telefon bimbit dan komputer riba.

IGaN dan SilTerra berkata, kerjasama itu akan melihat pengeluaran besar-besaran teknologi baru tersebut pada awal 2019 dan mengembangkan peluang pekerjaan dalam integrasi proses pembuatan dan kejuruteraan peralatan.

— BERNAMA