Sime Darby dan Unilever Malaysia menang Anugerah Lestari

Sime Darby dan Unilever Malaysia menang Anugerah Lestari

Sime Darby Plantation Bhd dan Unilever Malaysia menjadi pemenang keseluruhan Anugerah Perniagaan Lestari (SBA) 2018, selepas menonjolkan prestasi konsisten mereka merentasi 12 kategori yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Ketua Pegawai Eksekutif Global Initiatives, Tony Gourlay berkata kepimpinan Malaysia dalam kelestarian adalah jelas melalui anugerah pada tahun ini, kedua-dua dari segi penglibatan perniagaan serta sebagai sebuah negara, ia menonjolkan kepimpinan melalui teladan di rantau ini.

“Perniagaan mampu dan mesti mengukuhkan momentum ini bagi mencapai matlamat 2030 PBB,” katanya dalam satu kenyataan.

Anugerah SBA diberikan kepada sesebuah perniagaan selepas penilaian dibuat ke atas langkah dengan kaedah yang memberi markah kepada prestasi serta proses merentasi strategi dan pengurusan kelestarian, tenaga kerja, komuniti pengurusan tenaga, pengurusan air, sisa dan produktiviti bahan, antaranya.

Penglibatan sebanyak 60 syarikat terbesar termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia dalam SBA 2018 juga mencerminkan permulaan yang menggalakkan bagi anugerah tersebut di Malaysia, dengan 77 peratus pemenang terdiri daripada syarikat-syarikat tempatan, kata Gourlay.

SBA 2018 yang diadakan buat pertama kali di negara ini, dianjurkan oleh Global Initiatives dengan kerjasama Nova Fusion, PwC Malaysia dan Control Union.

SBA telah berlangsung selama tujuh tahun di Indonesia dan Singapura, tetapi ini adalah kali pertama anugerah itu dianjurkan di Malaysia.

— BERNAMA