Sime Darby Property lancar kempen Jualan Hari Raya 2019

Sime Darby Property lancar kempen Jualan Hari Raya 2019

Sime Darby Property Bhd, yang mencatatkan jualan melebihi RM1 bilion menerusi penjualan lebih 1,100 unit hartanah pada kempen Primetime 8 selama lapan minggu baru-baru ini, akan mengadakan kempen pemilikan rumah baharu bersempena perayaan Aidilfitri.

Kempen Raya 2019 itu akan berlangsung mulai 15 Mei sehingga 30 Jun.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Wan Hashimi Albalkri Wan Ahmad Amin Jaffri berkata sebelum ini kempen Primetime 8 menerima sambutan menggalakkan daripada para pembeli, melebihi daripada jangkaan syarikat itu.

“Ia merupakan suatu isyarat bahawa rakyat Malaysia tetap mengutamakan pemilikan rumah meskipun wujud kebimbangan terhadap iklim ekonomi, menggambarkan kepercayaan mereka terhadap rumah berkualiti di lokasi menarik, akses mudah dan harga kompetitif yang menghasilkan produk bernilai untuk wang mereka.

“Kempen Pemilikan Rumah telah mendorong kepada pencapaian ini dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pasaran hartanah merupakan penyumbang penting terhadap ekonomi negara dan sehubungan itu, Sime Darby Property akan terus memainkan peranan untuk merancakkan sektor tersebut.

Kempen pemasaran Primetime 8 diadakan bersempena kempen pemilikan rumah di peringkat nasional 2019 yang dilancarkan sepanjang Mac dan April.

Sime Darby Property melancarkan tujuh projek baharu dan dua projek rekaan bersama di Subang Jaya dan Putra Heights, melibatkan platform dalam talian Dto, sepanjang kempen selama lapan minggu itu.

Dto adalah platform dalam talian berpandukan aspek rekaan bersama dan pendanaan awam yang membolehkan bakal pembeli menyertai proses konsep pembangunan, reka bentuk dan kemudahannya.

Ramai pembeli menghadiri pelancaran kediaman bertingkat dan bertanah yang berkualiti di Bandar Bukit Raja,City of Elmina, Serenia City, Bandar Universiti Pagoh, The Glades Putra Heights dan KL East.

Menurut Sime Darby Property, projek-projek perumahan yang dilancarkan itu terletak di lokasi strategik dan mempunyai kesalinghubungan yang baik.

Satu daripada produk utama adalah Elsa, produk pertama di bawah Affordable Collection yang mencatatkan 100 peratus pembelian semasa pelancarannya dengan 165 unit telah terjual.

Kempen itu turut menyaksikan pelancaran hartanah yang amat memberangsangkan antaranya Elmina Valley Five dengan penjualan 90 peratus daripada 373 unit. Kediaman bertingkat The Ridge di KL East juga telah terjual melebihi 70 peratus.- BERNAMA