Malaysia Dateline

Simpan banyak duit: Pemuda Pas beri ‘peluru’ perli pemimpin sendiri

Nasihat berupa tips daripada Dewan Pemuda Pas Malaysia berhubung cara menyimpan banyak wang dilihat seperti membuka ruang untuk warganet memerli kepimpinan parti mereka.

Tiga daripada tips itu ialah “Belajar bezakan keperluan dan kemahuan”, “Bermewah nak sampai tahap mana?” dan “Cari jalan gandakan duit”.

Kesemua poster berkaitan petua tersebut yang dikongsi Pemuda Pas di Facebook turut disertakan tagar (tanda pagar) #MemimpinNegara.

Dalam tips keenam “Bermewah nak sampai tahap mana?” contohnya, Pemuda Pas mengingatkan hidup di bawah kemampuan tidak menjadikan diri hina.

“Biar la pergi pasar raya pakar selipar pun. Biar la pakai baju bundle pun. Asalkan semua selesa.

“Jangan ikut sangat arus perdana anak muda tu. Pakai Honda Civic Type R bagai, tapi simpanan RM2,000 pun takde,” katanya.

Susulan hantaran tips tersebut, pelbagai sindiran dilontarkan warganet termasuk berkongsikan gambar beberapa kereta mewah yang dikaitkan dengan pemimpin Pas.