Dugaan setiap orang itu berlainan, meskipun anak tular kerana menjadi isteri kedua, pelakon Norman Hakim tetap menyayangi Marissa Dania Hakim.
Usai menyambut ulang tahun kelahiran ke-19, Norman memuat naik video dan ucapan menyentuh hati buat Marissa.
Menerusi hantaran di Instagram, Norman memaklumkan hingga kini dia masih menyimpan ‘surat cinta’ yang ditulis oleh anaknya itu.
“Hari ini, sembilan tahun lepas, papa (Norman) ‘surat cinta’ dari Adik. Surat yang comel tapi sangat mendalam segala maksud yang tersirat walau dicoret oleh anak berusia 10 tahun.
“Mama dan Mummy pun dapat surat sorang satu dari Adik. Hilang segala belenggu lelah bila dapat surat ni dari Adik.
“Abah masa tu baru ‘salam perkenalan’ dalam keluarga kita. Sampai hari ni surat ni masih tersimpan kemas dalam file hardcopy dan softcopy papa,” ujarnya dalam hantaran di Instagram.
Terimbau kenangan saat Marissa dilahirkan
Pada masa sama, Norman terimbau kenangan Abby Abadi melahirkan anak kedua mereka semasa dalam perjalanan ke klinik.
“Tak sempat bawa Mama sampai klinik, adik dah tak sabar nak keluar. Papa ingat lagi perkataan pertama yang keluar dari mulut Mama bila Adik dah keluar sepenuhnya.
“Adik nangis sekejap je pastu diam. Mata terkebil-kebil pandang papa pandang mama.
“Mama cakap ‘Hidung Norman Hakim laaa…’. Nampak je muka Adik, terus lenyap panik papa. Terus hilang sakit Mama bertarung nyawa lahirkan Adik,” tambahnya.
Dalam pada itu, Norman turut mengucapkan rasa saya buat menantunya Aslam dan madu Marissa, Umisya.
“Papa sayang Adik, sayang Aslam dan sayang Umisya. Semua anak-anak papa juga. Ujian hidup kita berbeza. Doa papa buat kalian tak pernah putus.
“Allah datangkan hujan, ribut dan taufan sebab Allah nak mengajar kita tentang bersyukur dalam tangis dan sujud semasa hadirnya pelangi nanti.
“Percaya dan yakin waktu itu akan tiba,” ujarnya mengakhiri ucapan.
Baca juga: Nampaknya Sarjan Alang bukan ‘calang-calang’, artis popular pun ajak bergambar!