Malaysia Dateline

Simpati kepada ‘Daddy’, tahniah kepada Saudara Bahri dan pasukan SPRM serta mahkamah

Penulis berasa simpati kepada keluarga Bossku Datuk Seri Najib Razak (DSNR) atau “daddy’ kerana terpaksa merengkok dalam penjara, setelah ketiga-tiga mahkamah utama negara tanpa sedikit khilaf mensabitkan hukuman penjara ke atas “Daddy”. Namun simpati penulis lebih kepada rakyat Malaysia yang telah puluhan tahun terpersona dengan kebobrokan Barisan Nasional dan kepimpinannya.

Sebanyak RM42 juta dana SRC International telah di’sakau’ dan Yang Arif Hakim-hakim yang bersidang telah bersetuju sebulat suara supaya hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang telah di jatuhkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 dikekalkan. Pada 8 Dis 2021, DSNR juga telah gagal mengenepikan sabitan dan hukuman tersebut di peringkat Mahkamah Rayuan.

Pasukan Operasi Khas SPRM yang diketuai Bahri amat terkesan dengan apa yang berlaku8230 Gambar Malaysiakini

Bekas Pengarah Operasi SPRM Bahri Mohamad Zin antara figura penting dalam siasatan terhadap SRC International yang kemudian bersara awal pada tahun 2017 selepas dipindahkan secara mengejut ke Jabatan Perdana Menteri bersama seorang lagi Pegawai Kanan SPRM Rohaizad Yaakob. Beliau tidak harus dilupakan. Pada ketika itu juga rakyat mesti diingatkan juga bahawa seorang Timbalan Pendakwa Raya SPRM turut di tahan reman.

Pasukan yang diketuai oleh Saudara Bahri kemudian turut digantung. Kegigihan pasukan ini akhirnya menghasilkan buah yang mungkin memberikan kebanggaan kepada Bekas Pengarah Operasi SPRM dan anak buahnya itu. Beliau dikhabarkan telah diugut, digertak dan cuba diberikan suapan untuk memberhentikan siasatan. Beliau telah berkorban dan terkorban namun telah dengan penuh dedikasi bertugas demi integriti, kejujuran dan keikhlasannya untuk membela kebenaran. Siasatan SRC International, 1MDB telah turut mengorbankan figura kanan SPRM seperti Ketua Pesuruhjaya dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Namun yang paling malang, masih ramai yang menjunjung kerakusan kuasa, kejijikan amalan salahguna kuasa dan rasuah. Laskar Siber yang mendokong DSNR sehingga memberi amaran usah diberi lagi perubahan kerajaan seperti berlaku dalam PRU14! Ini lah perkataan atau hujah yang paling tidak bermaruah, keji dan anti demokrasi. Amaran ini semata-mata mahu menutup segala kebobrokan kerajaan BN, menutup semua salahlaku dan mendabik diri kalis undang-undang.

Rasuah, salah guna kuasa, rompakan harta rakyat, penyelewengan dana, pembolotan kontrak yang selama ini menjadi budaya mereka nampaknya ingin dikembalikan sebaik berkuasa kembali. Maka, memang patutlah mereka benci sangat dengan perubahan kerajaan walau hanya selama 22 bulan tetapi telah berjaya mendedahkan kes salah laku berprofil tinggi. Sekiranya diberi peluang lima tahun penuh, sudah pastilah banyak agenda perubahan (reform) dan pembersihan akan boleh dilakukan lagi.

PRU15 yang sedang didesak oleh BN dan kuncu-kuncu BossKu adalah semata-mata bertujuan supaya mereka boleh menutup tembelang dan kejahatan puluhan tahun yang dilakukan dan tidak terbongkar terus-terusan. Sekiranya mereka berjaya dalam PRU15 kali ini, jika dilihat kenyataan-kenyataan laskar siber dan kepimpinan Umno/BN, mereka mahu menutup semua najis-najis rasuah, salahguna kuasa mereka selama ini dengan apa cara sekali pun, termasuk mungkin merombak struktur institusi kehakiman dan peguam negara. Kenyataan-kenyataan mereka sehari dua ini juga menggambarkan mereka seolah-olah menolak keadilan mahkamah dan kejujuran pihak pendakwaan.

Penulis amat bersetuju dengan pandangan Yang Arif bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Raus Sharif yang mengingatkan agar semua pihak membaca dahulu penghakiman dan alasan yang diberikan. Keputusan mahkamah menurut beliau tidak harus di kritik secara semberono.

Ketika berucap di Simposium Parlimen Malaysia 2022 (Selasa, 23 Ogos 2022) Tuan Raus menegaskan bahawa beliau mempertahankan kebebasan badan kehakiman dengan menepis pengaruh luar ketika sebarang kes diputuskan. Tun Raus menegaskan lagi bahawa mereka yang mahu mencabar undang-udang sebagai mencabar perlembagaan perlu membuktikan perkara itu di mahkamah. Dengan kata lain bukan melalui hujah laskar siber atau ulasan kedai kopi pimpinan Umno/BN atau siapa sahaja yang hanya membidas keadilan undang-undang tanpa melihat fakta dan analisis sebenar yang dikemukakan oleh para hakim terhadap sebarang kes.

Desakan pengampunan DiRaja hanya sehari sahaja selepas hukuman dijatuhkan dengan sabitan 12 tahun penjara melalui penyalahgunaan kuasa dan sakauan sebanyak RM42 juta sungguh tidak wajar. Masih terlalu awal. Jika dia banyak berjasa sekali pun, maka boleh diberi pengampunan awal, ramai juga lagi yang mungkin berada dalam penjara dan mereka juga mungkin telah banyak berjasa kepada negara. Sedang rakyat menderita, ramai pegawai penyiasat SPRM telah menjadi mangsa, kecewa dan terhina, sistem yang telah diporak perandakan, pembohongan demi pembohongan (sumbangan atau dana Arab atau Putera Arab) yang tidak dapat dibuktikan dalam mahkamah. 

Adakah rakyat Malaysia mudah-mudah memberi simpati untuk mengizinkan rayuan pengampunan dan pembebasan dalam masa beberapa hari setelah pasukan penyiasat SPRM, Pendakwa, Yang Arif Hakim-Hakim telah bentindak mengikut lunas perlembagaan dan undang-undang, maka biarkan pesalah yang telah diadili menjalani hukuman sambil bermuhasabah akan dosa rakusnya.

DSNR, dalam warkah Daddy kepada keluargaku dan cucu-cucunya mencatatkan “daddy berpegang teguh kepada ajaran Islam”. Oleh itu DSNR a.k.a Daddy renunglah beberapa petikan ayat Al-Quran dan Hadith Nabi saw berikut supaya di masa akan datang daddy akan tersentuh dengannya sebagai panduan:-

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah mengkhianati Allah dan rasulNya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah (yang diamanahkan kepada) kamu sedang kamu mengetahunya.” (AlAnfal: 27)

Nabi saw bersabda yang bermaksud: “Daripada Abdullah bin Amru, katanya: Telah bersabda Rasullullah saw: Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah. (Hadith Riwayat Al Imam Ibn Majah)

Akhirnya Allah SWT mengingatkan kita semua dalam firmanNya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan harta orang lain antara kamu dengan jalan yang batil, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim supaya kamu dapat mengambil sebahagian daripada harta orang dengan cara berbuat dosa padahal kamu mengetahui salahnya”. (Surah AlBaqarah: 188).

Yang Arif Hakim-hakim dan para penyiasat SPRM (terutama Saudara Bahari dan  Rohaizad) telah menjalankan tugasan dangan cemerlang. Perbicaraan dan rayuan telah berjalan disemua peringkat mahkamah dengan saksi-saksi dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan. Selepas pihak pendakwaan mendengar keterangan 57 orang saksi selama 58 hari dan kemudian 19 saksi pembelaan memberi keterangan selama 33 hari di peringkat Mahkamah Tinggi, maka sesungguhnya Mahkamah telah menjalankan tugasnya mengikut lunas perlembagaan. Mencabar kesahihannya adalah mencabar perlembagaan negara terutamanya ketika negara sedang menyambut ambang kemerdekaan negara pada 31 Ogos 2022.

Terimakasih Saudara Bahari dan pasukan petugas SPRM, jasa saudara akan diingat oleh rakyat dan akan mendapat balasan setimpal di sisi Allah SWT kerana kejujuran dan integriti saudara-saudara semua walau telah teraniaya dan terhina. Terimakasih kepada Yang Arif Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Hakim Negara dan pasukannya yang sangat tegas dan telah mendapat sanjungan antarabangsa dan telah berjaya memulihkan keyakinan terhadap sistem perundangan dan keadilan negara.

(*) Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam Jordan. Walaubagaimanapun penulisan ini adalah merupakan pendapat penulis dan tiada kaitan dengan pendirian akademi.