Sinar Harian sedia pentas debat Dr Rozaimi dan ulamak Pas

Sinar Harian sedia pentas debat Dr Rozaimi dan ulamak Pas

Ketika cabaran debat Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin terhadap Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung Rang Undang-undang (RUU) 355 belum bersambut, akhbar Sinar Harian sedia menawarkan tempat untuk perdebatan mengenai pindaan Akta 355, antara pensyarah Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Dr Rozaimi Ramle dengan ketua penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.

“Kami mengalu-alukan percambahan minda, dan pentas kami sentiasa terbuka untuk wacana ilmu seperti ini,” kata Penasihat Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abd Jalil Ali.

Beliau mengulas surat dari sebuah NGO Islam, Pertubuhan Kebajikan Al-Qayyim (IQ) Malaysia untuk pensyarah fekah & usul fiqh dan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu bersemuka dalam debat terbuka.

Surat tersebut dari setiausaha IQ, Abd Hafiz Salleh Hudin, dihantar dengan tangan kepada Dr Khairuddin.

“Oleh yang demikian IQ mengharapkan pihak YB dapat memberikan komitmen untuk program dialog ini dijayakan,” kata kandungan surat tersebut yang salinannya diperolehi Sinar, semalam. Rozaimi adalah presiden IQ.

Dalam satu reaksi positif Jalil memberitahu pihaknya menyerahkan kepada dua tokoh berkenaan untuk menetapkan tarikh dan masa perdebatan.

“Sila berhubung dengan kami dalam masa terdekat, dan auditorium kami sentiasa bersedia untuk mereka bertukar pandangan secara sihat dan terbuka.

“Bagi kami Akta 355 yang hendak dibicarakan ini adalah isu kepentingan umum dan Sinar telah beberapa kali menganjurkan debat dan wacana mengenai isu ini antara ramai pakar dan tokoh di bidang berkenaan, termasuk yang bukan Islam.

“Selain terbuka kepada umum, auditorium kami boleh muat 500 orang, kami akan menyiarkan debat ini dalam Sinar Harian, Sinar online dan Sinar TV,” kata Jalil.

Sebelum ini Khairuddin dalam rakaman video di Internet menyatakan kesediaan bersemuka dengan pihak yang berkata pindaan Akta 355 tidak wajib.

Dalam rakaman 4.30 minit yang dipetik dari satu ceramahnya, Khairuddin turut berkata, jika ada mana-mana mufti yang berkata pindaan akta itu tidak wajib, “kepalanya patut disekeh”.

TAGS