Malaysia Dateline

Sindiket kartel projek: Patriot mahu kerajaan siasat rasuah dalam pentadbiran awam

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) mengakui terkejut dengan keadaan korupsi dalam negara yang boleh dikatakan telah bertapak di hampir setiap kementerian susulan penahanan tujuh individu yang didakwa terlibat dalam sindiket kartel projek berjumlah RM3.8 bilion.

Presidennya, Datuk Mohd Arshad Raji menyatakan gesaannya agar Ketua Setiausaha Negara dan semua Ketua Setiausaha Kementerian dalam kerajaan untuk segera mengkaji semula tadbir urus pemberian tender projek

Beliau berkata, kerajaan perlu menggunakan prosedur semak dan imbang untuk memastikan amalan rasuah yang merosakkan dalam pentadbiran awam dapat dicegah.

“Patriot memuji SPRM kerana menangkap pemimpin kartel projek itu. Pasti ada siasatan yang mendalam untuk sampai ke akar umbi dalam permasalahan serius ini.

“Sesuatu yang tidak betul telah berlaku dalam pentadbiran awam dan pengurusan tender projek.

“Setiap orang yang terlibat sebagai rakan konspirasi dan rakan sekerja juga mesti dibawa ke pengadilan. Sebahagian daripada suspek mungkin mempunyai darjah kehormat (seperti Datuk),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Arshad berkata, hanya apabila punca permulaan rasuah itu dapat dikesan termasuk membabitkan individu-individu yang memegang jawatan politik tertinggi, pembinaan negara yang terurus dapat dimulakan.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menahan reman tujuh individu berhubung sindiket kartel projek yang dikatakan telah memonopoli sebanyak 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara.

Sindiket kartel projek itu juga dipercayai beroperasi sejak tahun 2014 hingga sekarang.

Hasil siasatan mendapati, ketua sindiket berusia 47 tahun mengawal lebih 150 buah syarikat yang digunakan untuk memasuki tender atau sebut harga di kementerian dan agensi yang terlibat.

Pada masa sama, sindiket ini dipercayai mendapat kerjasama ‘orang dalam’ untuk memastikan syarikat-syarikat di bawah ‘kawalannya’ dibenarkan masuk tender atau sebut harga dan memastikan salah satu daripadanya berjaya.

Sementara itu Mohamed Arshad berkata, pmberian begitu banyak projek kerajaan kepada satu entiti tunggal, bermakna kontraktor lain yang layak telah dipinggirkan.

“Juga, pembahagian kekayaan dan peluang pekerjaan yang adil kepada kumpulan yang lebih luas telah disabotaj.  Itu juga menghina Wawasan Kemakmuran Bersama negara kita,” katanya lagi.