Malaysia Dateline

Sindiran datang bertalu, Pemuda Pas ulang pendirian tengok wayang ‘Mat Kilau’ tak haram

Pemuda Pas menerusi Facebook rasminya terus mengulang pendirian berhubung menonton filem di pawagam selepas sindiran datang bertalu dan dikecam sebagai hipokrit.

Sebelum ini, pentadbir halaman tersebut dengan nama ‘Zack’mempertahankan tindakan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang menonton filem Mat Kilau di sebuah pawagam di ibu negara.

Penjelasan seterusnya yang dikongsi Facebook Pemuda Pas adalah tulisan daripada Ustaz Ahmad Muzani Abd Rahman yang membandingkan televisyen (TV) dengan pawagam.

Hujah Muzani, pawagam tiada hukum kerana pawagam bukan mukallaf iaitu menanggung hukum.

“Maka hukum pergi pawagam bergantung kepada yang pergi. Pergi berdua-duaan bawak awek, berlaku pergaulan bebas, berpelukan saat tengok filem hantu, filem yang ditayang melanggar syariat maka hukumnya haram.

“Kalau pergi tanpa buat maksiat, tengok pula filem yang boleh mendidik masyarakat dan patuh syariah seperti Mat Kilau maka hukumnya harus,” jelasnya.

Pas sejak bulan lalu lagi menerusi media sosialnya mempromosikan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof.

“Akan mula ditayangkan pada 23 Jun 2022 di seluruh pawagam.

“Sudahkah anda bersedia?” soal Pas di Facebook.

Mengulas lanjut, Muzani bagaimanapun berkata, bukan bermaksud menggalakkan orang ke pawagam, tetapi ketika manusia rosak akibat lambakan filem yang melanggar batasan syarak tiba-tiba keluar filem yang tidak melanggar hukum Allah maka kita kena sokong.

“Perbanyakkan lagi drama, filem dan sewaktu dengannya yang boleh mendidik masyarakat. Alang-alang nak sekat filem itu mustahil, maka keluarkanlah filem yang bermanfaat.

“Mat Kilau dah buktikan bahawa filem tanpa ada adegan lucah dan pelakon seksi juga boleh untung. Bahkan, memberi manfaat kepada manusia,” katanya.

Dia turut menegaskan pawagam jadi haram kerana isi dalam pawagam itu ada maksiat.

“Maka disaat sudah tiada maksiat juga kita haramkan maka itu adalah melampau dalam beragama,” hujahnya.

Sehubungan itu, Muzani mengemukakan dua cadangan iaitu sama ada jangan pergi pawagam atau jika mahu pergi jangan buat perkara haram.

“Kerajaan Kelantan tutup pawagam itu baik, kerajaan Terengganu tak tutup tapi ada garis panduan yang wajib diikuti di pawagam itu juga baik.

“Apa yang tak baik buka pawagam tanpa peduli halal haram.

“Anda tak pergi pawagam, tapi tengok TV di rumah sahaja dengan menonton filem yang ada pelakon perempuan yang tidak menutup aurat, seksi dan lain-lain perkara yang diharamkan syara’ maka itu juga haram.

“Agak-agak faham tak?” tambah Muzani lagi mengakhiri ulasannya.

Naib juara pornografi

Bagaimanapun, pendirian Pas terutama sayap pemudanya ketika parti itu berada dalam kerajaan sekarang dilihat jauh berbeza semasa bergelar pembangkang.

Ahmad Fadhli yang sekarang merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas sebelum ini pernah menegaskan bahawa cadangan membuka pawagam di pasar raya tidak bersesuaian dengan imej Kelantan sebagai gedung ilmu.

Tegasnya pada 2016, Kelantan harus kekal dengan keadaan iaitu tidak memerlukan sebuah pawagam untuk golongan muda.

“Pawagam dikhuatiri boleh mengundang pelbagai masalah dan menyumbang kepada masalah sosial yang semakin berleluasa,” katanya dilapor Harakahdaily.

Namun, tanpa pawagam di Kelantan pun, Kota Bharu pada tahun 2014 muncul sebagai ‘naib juara’ menghabiskan masa paling lama melayari pornografi di internet dengan purata 12 minit dan 27 saat selepas Kuala Terengganu dengan 12 minit dan 58 saat untuk setiap lawatan sama ada untuk mencari atau melihat visual.

Statistik syarikat video dalam talian itu menerusi analisis bertajuk ‘Who Lasts Longest’ mengumpul dan memperincikan masa yang digunakan di laman web oleh pengguna internet di seluruh dunia.

Sindiran datang bertalu

Serentak itu juga, sindiran datang bertalu daripada kalangan warganet termasuk berkongsikan gambar Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sedang berada dalam posisi bersilat.

“… cukup gagah berani melawan kerajaan suatu ketika dahulu. Antara dua generasi yang patut dibanggakan!” perli pengguna Facebook, Akhtar Shaari.

Turut tersebar poster perbandingan binaan piramid zaman Firaun di Mesir dengan gunung dan hutan simpan yang luas ditarah menyerupai piramid di Kelantan.

Bahkan, aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza yang kerap disoal siasat polis berhubung hantaran kakikaturnya turut berkongsikan karya terbaharu beliau.

Karikatur hitam putih itu tampil dengan imej individu berkopiah putih seperti sedang duduk di kerusi pawagam dan sedang menonton filem sambil tangan kiri menyuap pop corn.

“Bila kamu larang dan hukum orang lain sebab buat sesuatu benda, tapi kamu sendiri pergi buat benda yang sama, itu namanya hipokrasi,” kata kapsyen dalam karitakur yang dimuat naik Fahmi semalam.

Baca juga Kelantan putuskan tiada panggung wayang di negeri itu

Baca juga Mama jangan, pedih! sakit.. abah wat.. abah pegang kemaluan, punggung – Wanita tekad buat laporan polis terhadap suami sendiri